1. Berakhirnya
Pilihan Raya DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai tempoh hari menandakan tempoh
jentera Pilihan Raya AMANAH untuk berehat. Tempoh bertenang ini diambil setelah
jentera berhadapan 3 kali Pilihan Raya dalam tempoh kurang dari setahun iaitu
bulan Disember 2022 untuk PRU ke-15, Ogos 2022 untuk 6 PRN dan 2 PRK yang
ditandingi oleh AMANAH.
2. Untuk
menilai rekod AMANAH, pastinya beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh
AMANAH gagal dipertahankan meskipun wakil rakyat tersebut mempunyai rekod perkhidmatan
yang baik. Antaranya di Parlimen, AMANAH gagal mempertahankan kerusi antaranya
Tampin, Pokok Sena dan Lumut. Manakala di peringkat DUN pula, AMANAH yang
berkhidmat cemerlang tumbang kepada PN seperti Sungai Ramal, Kubang Rotan dan
Paroi.
3. Asasnya
AMANAH ditenggelamkan oleh sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh
pihak lawan sehingga menghilangkan pertimbangan yang seimbang oleh pengundi
untuk membuat pilihan. Akhirnya, wakil AMANAH gagal mempertahankan kemenangan.
Rumusan awal yang boleh dinyatakan adalah pihak lawan AMANAH khususnya PAS,
lebih islamik berbanding AMANAH.
4. Adakah
benar AMANAH kurang Islamik atau tidak Islamik berbanding PAS? Setujukah kita
bahawa selagi AMANAH bersama DAP, AMANAH akan gagal mengusasi undi melayu
Islam? Bagi soalan kedua, konteks politik hari ini telah menakdirkan bahawa
AMANAH perlu bersama DAP dan PERPADUAN. Ia sama dengan BN yang juga perlu
bersama DAP dan PH, manakala DAP juga turut perlukan BN. keputusan ini bukan
sahaja mendatangkan keuntungan kepada BN dan PH sebagai kerajaan, tetapi lebih
penting Kerajaan Perpaduan memacu kestabilan politik negara dan menguasai
hampir majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.
5. Oleh
itu, pilihan AMANAH adalah terhad kepada satu keputusan sahaja iaitu kekal
bersama PH dan PERPADUAN. Sebaliknya, soalan pertama tadi jika terjawab boleh
meminimakan kesan kebersamaan DAP oleh pengundi melayu Islam. Sebenarnya
politik bukanlah perlumbaan antara PAS dan AMANAH siapa lebih Islam, namun
sokongan pengundi melayu Islam akan diberikan kepada parti yang lebih Islam.
Maka mahu tidak mahu, AMANAH perlu menyerlahkan nilai Islam yang
diperjuangkannya agar pengundi sedar bahawa bukan PAS sahaja yang Islam, malah
Islam oleh pendekatan AMANAH lebih sesuai dengan masyarakat Malaysia.
6. Meskipun
AMANAH hanya mempunyai 3 Ahli Dewan Negara, 8 Ahli Dewan Rakyat serta 10 Ahli
Dewan Undangan Negeri, namun kestabilan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk wajar
digunakan oleh semua YB AMANAH untuk menterjemahkan nilai Islam yang dibawa
dalam kepimpinan masing-masing.
7. Ada
banyak perimeter atau segmen yang boleh dibawa oleh YB AMANAH, Cuma hari ini
penulis mahu menterjemahkan sifat wajib Nabi Muhammad SAW dalam kepimpinan YB
AMANAH. Umat Islam akan hafal sifat tersebut iaitu Siddiq, Amanah, Fathonah dan
Tabligh. Penulis hanya mahu menghuraikan sifat tersebut dari sudut seorang YB
AMANAH yang mungkin mampu mengubah paradigma masyarakat kepada politik Islam.
SIDDIQ-BENAR
8. YB
AMANAH yang dipertangunggjawab sebagai pentadbir dan pembuat dasar kerajaan mestilah
berkata benar dan tidak membohongi rakyat. Kepercayaan rakyat kepada setiap
hujah oleh seorang YB AMANAH akan mempertingkatkan imej Islam dimata
masyarakat. Malah membenarkan semua kata-kata yang disampaikan dangan
pelaksanaannya atau ‘walk the talk’ mampu meningkatkan keyakinan rakyat kepada
YB AMANAH.
AMANAH-DIPERCAYAI
9. YB
AMANAH menjadi politikus kepercayaan rakyat dengan menumpukan segala daya yang
ada demi membangunkan kehidupan rakyat. Mematikan semua agenda politik yang
merencat kehidupan rakyat dengan fokus utama menggunakan kedudukan, kuasa dan
keadaan hanya untuk kepentingan rakyat bukan peribadi. Janji yang dialunkan
akan dikota sehabis baik. Istilah YB AMANAH ‘boleh pakai’ menjamin kedudukan
AMANAH di hati umat Islam.
TABLIGH-PENYAMPAI
10. Mungkin
sifat ini yang kurang dipertontonkan oleh YB AMANAH dalam penggal lalu sehingga
AMANAH dikategorikan tidak Islamik. Setiap pendekatan atau usaha yang dibawa
oleh YB AMANAH mestilah disampaikan kepada rakyat. Mesej ini penting supaya
keberadaan AMANAN dalam politik disedari. Malah tujuan dan matlamat sesuatu
dasar perlu dijelaskan kepada rakyat sehingga membumi ke dalam tanah. Biar
beribu kali disampaikan, rakyat akan memahaminya. Pastinya setiap tindakan YB
AMANAH bersandarka Islam, maka jelaskan kepada rakyat. Islam yang dibawa adalah
Islam yang sediakan makan minum, tempat tinggal serta pendidikan untuk umatnya.
Tanpa aspek penyampaian yang berkesan dengan petikan dalil yang sesuai, niat
murni YB AMANAH gagal diketahui umum malah AMANAH diperakui sebagai kurang
Islamik.
FATHONAH-BIJAKSANA
11. YB
AMANAH adalah pemimpin yang bijaksana dalam berpolitik. Suasana dan keadaan
politik yang berlaku digunakan sehabis baik demi manfaat rakyat dan
kelangsungan Islam. Kebijaksanaan pimpinan AMANAH kekal menyokong PERPADUAN
meskipun duduk bersama seterunya BN menatijahkan keuntungan besar buat rakyat
dan Islam. Oleh itu, YB AMANAH perlu jadikan ia sebagai panduan. Dalam masa
yang sama YB AMANAH tanpa gagal berusaha untuk mecerdikkan rakyat dengan
pelbagai program agar rakyat yang miskin menjadi kaya, rakyat yang mundur
menjadi bijak.
12. Ini
buah fikir penulis kepada YB AMANAH yang telah pun dan akan memulakan tugas
mereka. Walau apa pun kedudukan YB, kelangsungan AMANAH mestilah
dititikberatkan dimana persepsi AMANAH kurang Islamik dari PAS perlu ditangani
sehabis baik dengan kuasa, kedudukan dan kerajaan yang YB AMANAH miliki. Ini
masanya YB AMANAH terjemahkan Islam yang dibawa kepada masyarakat.
Cikgu Syazmir HN
Ulasan
Catat Ulasan