1. Meskipun
mencecah usia 8 tahun pada 16 September 2023 ini, AMANAH merupakan parti junior
dalam HARAPAN berbanding UPKO,DAP dan KEADILAN masih belum menjadi pilihan
utama pengundi Melayu Islam. Adapun kemenangan calon-calon AMANAH dalam siri
Pilihan Raya pasca Langkah Sheraton disebabkan beberapa faktor seperti
kewibawaan calon, sokongan pengundi bukan melayu dan dan gelombang semasa. Amat
tipis jika mahu mendapatkan jawapan pengundi memilih AMANAH kerana perjuangan
Islam.
2. Persoalannya,
benarkah AMANAH memperjuangkan Islam? Apakah beza AMANAH dan PAS sehingga
terbahagi kepada dua jemaah? Yang lebih penting adalah dimanakah Islamnya
AMANAH untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Seperti tulisan penulis sebelum
ini, mahu tidak mahu, AMANAH mesti menonjolkan keislamannya dari pelbagai sudut
demi mendapat kepercayaan orang melayu Islam.
3. Soal
bagaimana imej AMANAH dibawa, ciri ahli dan pemimpin AMANAH serta dimanakah
kedudukan agamawan dan ilmuwan dalam AMANAH telah penulis nukilkan dalam
tulisan-tulisan penulis sebelum ini. Cuma kali ini, penulis yang bukan bertaraf
agamawan mahu mempersembahkan kepada masyarakat dan memberi ulangkaji kepada
penulis dan ahli-ahli AMANAH dimanakah nilai-nilai Islam yang dibawa oleh AMANAH.
4. Mengapa
AMANAH berhaluan berbeza daripada PAS, secara politik ia disebabkan oleh
sebahagian pimpinan PAS mahu berseteru dengan DAP dan Pakatan Rakyat. Namun
sebab yang lebih utama dan penting bagi AMANAH, mereka mahu melebarkan syiar
Islam atas pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin, atau Islam Rahmat untuk
sekalian alam. Benarkah Islam bergerak atas sifat itu, sering kali diucapkan
oleh pimpinan AMANAH bahawa pendekatan ini seiring dengan pemilihan Nabi
Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman yang diturunkan buakn semata-mata untuk
umat Islam, malah untuk umat sejagat melibatkan bukan Islam, haiwan, tumbuh-tumbuhan
dan alam sekitar.
5. Dengan
pendekatan itu, sifat RAHMAH menjadi tunjang atau asas pergerakan politik
AMANAH di Malaysia. Ia menjadi pendekatan yang mampu mencapai kelangsungan
Islam yang lebih segar dalam jangka masa panjang. Ertinya, melalui sifat RAHMAH
AMANAH, Islam yang akan ditegakkan mampu dicapai dalam konteks Malaysia dan
perlembagaannya. Buktinya bertahun-tahun perjuangan Islam berbentuk keras,
namun masih tidak berjaya mendapat tempat dalam kepimpinan. Akhirnya impian
menegakkan Islam menemui jalan buntu. Sebaliknya, pendekatan politik AMANAH
lebih sederhana dan tenang bagi memungkinkan AMANAH mendapatkan sokongan
pengundi melayu Islam dan bukan Islam seterusnya diberi tanggungjawab sebagai
pentadbir. Maka dengan posisi itu, Islam boleh ditegakkan.
6. AMANAH
jelas berbeza dengan PAS walaupun matlamatnya tetap sama mahu menegakkan syiar
Islam. Perbezaan yang lebih nyata, AMANAH bersifat moderat dan sederhana dalam
memastikan matlamatnya tercapai berbanding PAS yang melangkah secara konservatif.
Satu perbezaan yang nyata, dengan pendekatan Rahmatan Lil Alamin, AMANAH
meraikan kepelbagaian.
7. Perkaderan
yang dilakukan oleh AMANAH kepada ahlinya menekankan kepada keseimbangan
akhlak. Bagi AMANAH pembangunan secara holistik merangkumi akal, rohani,
fizikal dan emosi menjadi keutamaan dalam melahirkan ahli AMANAH. Dengan cara
itu, ahli AMANAH tidak mengikut secara melulu dan berlaku proses semak imbang
atas segala tindakan kepimpinan politik AMANAH. Perjuangan Islam yang dibawa
melalui pelbagai pendekatan yang dipilih oleh manusia, pemilihan manusia itu
pastinya ada kekurangannya. Oleh demikian, semak imbang ini boleh menjadi
penapis kepada pendekatan yang dibawa agar Islam yang sempurna itu sampai
kepada masyarakat. Pendekatan dan kepimpinan yang ditegur, bukan Islam yang
dikritik.
8. Itulah
AMANAH yang meraikan kepelbagaian demi mencapai mesej Islam yang sebenar.
Apakah citra Islam yang terpahat dalam AMANAH. Antaranya pendekatan yang dibawa
oleh AMANAH demi kelangsungan Islam adalah secara ansur-ansur. AMANAH tidak
gopoh dalam melaksanakan sesuatu dasar tetapi gagal difahami baik buruknya oleh
rakyat. Sebaiknya proses pendidikan sentiasa dijalankan agar rakyat benar-benar
mengikuti sesuatu dasar atas faktor kesedaran dan bukannya paksaan. Ini
bertepatan dengan sikap tabligh iaitu menyampaikan sehabis baik berbanding
menghukum.
9. Pendekatan
yang dibawa oleh AMANAH demi Islam selari dengan pendekatan budaya nusantara.
Kata pemikir Indonesia, Wali Songo melakukan strateginya untuk mengislamikan
masyarakat mereka. Pertama secara bertahap, Islam dibawa dengan pendekatan satu
persatu jauh sekali dengan cara mendadak. Ia bagi memastikan Islam itu diterima sepenuhnya
dengan kefahaman dan kerelaan yang jelas. Kedua, tidak menyakiti. Islam akan
tertegak tanpa sebarang paksaan malah budaya masing-masing yang pelbagai
dikekalkan. Akhirnya, pendekatan yang sederhana sama dibawa oleh AMANAH
dilakukan oleh wali di nusantara bagi memastikan Islam diperkasakan.
10. Inilah
citra Islam yang dibawa oleh AMANAH. Malah selama 22 bulan Naib Presiden
AMANAH, Dr. Mujahid dipilih sebagai pentadbir Islam era Kerajaaan Pakatan
Harapan membuktikan AMANAH mampu memperkasakan Islam. Pendekatan Islam Rahmatan
Lil Alamin menjadi kerangka besar pentadbiran Islam yang diperkenan oleh
Raja-Raja Melayu. Gaya berfikir melalui Maqasid Syariah benar-benar membuka
mata rakyat tentang pandangan mereka terhadap cara Islam bergerak. Akhirnya
melalui Fiqh Malaysia, AMANAH membuktikan Islam akan terus tertegak meskipun
adanya Perlembagaan Malaysia, ada kehidupan majmuk pelbagai kaum dan pasak
demokrasi yang menjadi tiang pembentukan Malaysia.
11. Sempena
ulang tahun kelapan Parti Amanah Negara, penulis mengharapkan kedudukan AMANAH
dalam Kerajaan Perpaduan akan memperhebatkan usaha AMANAH mencerdikkan rakyat
tentang Islam dan ketamadunan Islam. Bukan sahaja ia dapat menambah sokongan
pengundi Islam pada AMANAH malah ia mampu membentuk masyarakat madani sebagai
yang dicita-citakan oleh AMANAH.
Ulasan
Catat Ulasan