1. Anwar
Ibrahim dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor mempunyai pendekatan politik yang hampir
sama memandangkan mereka berdua memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik.
2. Setelah
tamat pengajian, Anwar Ibrahim menubuhkan Sekolah Yayasan ANDA dimana beliau
berperanan selaku Guru dan Pentadbir Sekolah. Manakala Ustaz Fadzil merupakan
Pensyarah dalam Pengajian Agama Islam di UTM yang ketika itu berpangkalan di
Jalan Semarak Kuala Lumpur.
3. Kerjaya
seseorang sebelum menyertai bidang Politik amat mempengaruhi gaya dan
pendekatan yang dibawa seseorang politikus. Jelasnya, Anwar dan Ustaz Fadzil
tidak pernah meninggalkan bidang pendidikan sebagai salah satu bidang keutamaan
yang disenaraikan dalam perjuangan mereka.
4. Baik
Anwar di dalam UMNO mahupun Ustaz Fadzil di dalam PAS, sering dibangkitkan soal
kesegaran pendidikan yang pastinya akan mencorak pemikiran masyarakat pada masa
hadapan.
5. Persamaan
yang jelas bagi kedua-dua sahabat ini, pembangunan ilmu kepada yang mereka
pimpin sangat dititik beratkan. Segala arah yang ingin dibawa bersama
pengikut-pengikut mereka mesti bermula dengan pemahaman ilmu tersebut. Ia
mengurangkan risiko kesesatan dan ketaksuban kepada sesuatu tindakan.
6. Perkembangan
ilmu dalam UMNO dan PAS berjalan seiring memandangkan Anwar menjadi pimpinan
UMNO sejak 1982 sehingga 1998 manakala Ustaz Fadzil memimpin PAS sejak 1989
sehingga 2002. Era 90an menjadi era pengilmuan kepada pengikut parti
masing-masing memandangkan pemimpin mereka mengamalkan gaya politik
kependidikan.
7. Berbeza
dengan politikus lain, Anwar dan Ustaz Fadzil mampu memperluaskan pemikiran
pengikutnya dengan ilmu yang sentiasa menjadi sandaran. Malah dengan gaya
tersebut, anak-anak buah mereka menjadi lebih menguasai ilmu itu berbanding
mereka.
8. Dari
sudut memperkasakan pendidikan arus perdana, Anwar lebih beruntung apabila
beliau berjaya menduduki kerusi Menteri Pendidikan pada tahun 1986, dengan
kedudukan itu, perjuangan yang beliau bawa diterjemahkan dalam pentadbirannya.
9. Hasil
tarbiyah dengan intelektual Islam di dalam ABIM, beliau menggagaskan Falsafah
Pendidikan Negara (FPN) sebagai kerangka besar pendidikan Malaysia. Menariknya
aspek kemenjadian murid sebagai seorang manusia diambil berat termasuk jasmani,
spritual dan perkembangan emosi.
10. Bukti
yang nyata keseimbangan pembangunan kesemua aspek dalam FPN akan melahirkan
generasi yang tahan diuji, berkarisma dan maju.
11. Malah
hari ini, ketika Anwar diberi mandat sebagai Perdana Menteri ke-10, nilai
Karamah Insaniah menjadi nilai utama yang harus diperkasakan dalam sektor
pendidikan semasa.
12. Bagi
Ustaz Fadzil pula, meskipun tidak pernah menjadi sebilangan pemimpin kerajaan,
kedudukan beliau sebagai Presiden PAS dan kemuncak kerjaya politiknya selaku
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat cukup memberi kesan kepada kerajaan dan
masyarakat.
13. Idea
dan gagasan yang disampaikan dalam pidatonya menjadi perhatian pelbagai pihak. Konsistensi
beliau dalam memastikan pendidikan Islam sentiasa diperkasakan dalam bidang
pendidikan arus perdana membuktikan beliau seiring dengan pemikiran Anwar yang
mahu aspek kerohanian dalam FPN dikembangkan.
14. Ustaz
Fadzil sentiasa membidas langkah menswastakan pendidikan khususnya peringkat
IPT kepada pihak luar, kata Ustaz Fadzil ia merupakan proses penjajahan
terancang dan menyemai nilai sekularisme kepada anak-anak muda. Dengan itu,
generasi muda akan jauh dari identiti Malaysia yang pelbagai. Jati diri Malaysia
menjadi corak yang dibawa dalam perjuangan pendidikan Ustaz Fadzil.
15. Dua
sahabat ini berjalan sederap memimpin umat, mengikut kelompok masing-masing.
Ustaz Fadzil berjaya membawa dimensi baru politik Malaysia hasil dididikan dan
peranan ilmu dalam perjuangan PAS. Manakala Anwar Ibrahim sedang menyambung
segala usaha pendidikan yang terhenti sejak 1998 demi mencetak satu generasi
Malaysia yang meninggikan ilmu serta serta mengukuhkan peranan ilmuwan dalam
masyarakat.
Ulasan
Catat Ulasan