1. Berasal
dari kalangan tenaga akademik Pengajian Tinggi, Ustaz Fadzil Noor merupakan
sosok pemimpin jemaah Islam yang mempunyai sentuhan berbeza dari pemimpin lain.
Terdedahkan gaya bekerjasa secara profesional telah membentuk gaya kepimpinan
Ustaz Fadzil yang lebih sederhana atau moderat dalam membawa mesej Islam pada
zamannya.
2. Dipilih
sebagai Presiden PAS pada fasa elemen kepimpinan Ulamak dalam PAS yang baru
berkembang dan menjadi pandu arah kepada perjalanan politik PAS, Ustaz Fadzil
berjaya meluruskan pergerakan PAS yang hampir terpesong kearah gerakan yang
berjalur keras dalam beragama. Meskipun menjadikan revolusi Iran sebagai role
model kepimpinan Ulamak PAS, tetapi Ustaz Fadzil atas ketajaman dalam berfikir
berjaya membentuk imej yang lebih mesra dan luas buat PAS.
3. Ada
beberapa elemen yang boleh penulis tekankan bahawa Ustaz Fadzil adalah tokoh
yang menentukan parameter dakwah PAS ketika itu sehingga berjaya menjadi pari
bertaraf Nasional yang mampu menyaingi UMNO dalam persada politik negara.
Seiring itu, perkederan dan elemen mengislamisasikan ahli-ahli PAS terus
berjalan ditangan pemimpin agamawan kepercayaan Ustaz Fadzil seperti Ustaz
Harun Taib dan Ustaz Abu Bakar Chik.
4. Era
kepimpinan Ustaz Fadzil, PAS meninggalkan sebarang elemen takfiri atau jalur
keras memandangkan ia bukan menjadi satu mampu mendorong masyarakat awam
bersama PAS mahupun Islam. Sebaliknya Ustaz Fadzil senantiasa bergerak dengan
pendekatan sederhana yang berjaya melenyapkan elemen takfiri. Ada ura-ura Ustaz
Fadzil berperang dingin dengan Ustaz Abdu Hadi yang mempunyai pendekatan yang
berbeza daripada Ustaz Fadzil. Namun ia diatasi atas semangat musyawarah antara
pimpin itu sendiri.
5. Berkaitan
memilih wanita sebagai calon Pilihan Raya, ketika zaman Ustaz Fadzil lah
pelaksanaannya dimulakan setelah ia lenyap daripada dibangkitkan zaman Dr.
Burhanuddin Al-Helmy. Kata Ustaz Fadzil, golongan wanita juga layak untuk
diturunkan sebagai calon, namun ketika zaman Dr. Burhanuddin ia tidak
bersesuaian memandangkan ketika itu Pemuda UMNO bergerak dengan naratif lebih
lasak yang merbahayakan calon wanita. Ustaz Fadzil meminta Ustaz Harun Taib
menyediakan kertas kajian berkaitan calon Pilihan Raya dari wanita akan ia dipertimbangkan
oleh Majlis Syura Ulamak. Akhirnya PAS meletakkan wanita sebagai calon Pilihan
Raya.
6. Ustaz
Fadzil menyedari bahawa PAS tidak boleh hanya berada dalam lingkungan agamawan
semata-mata yang menjadikan proses dakwah terhad dan tepu. Oleh itu, Ustaz
Fadzil membentuk satu pendekatan yang lebih meluas dengan menjemput golongan
profesional menyertai PAS sambil dibimbing dengan ilmu agama. Konsep ini sangat
berjaya apabila tokoh profesional seperti Dr. Hassan Ali menyertai PAS dan
berjaya menjadi Ahli Parlimen Parit Buntar serta Naib Presiden PAS. Ironinya
golongan profesional memerlukan tempat untuk mereka berpaut selain UMNO.
Apabila PAS menghakiskan elemen ‘Lebai’ dan meraikan penglibatan Profesional
maka golongan teknokrat menyertai PAS beramai-ramai.
7. Sebaliknya,
Ustaz Fadzil berusaha untuk mengangkat martabat golongan agamawan dengan
menerapkan ilmu profesionalisme kepada mereka agar mudah untuk mereka mentadbir
jika diberi peluang kelak. Malah pengurusan dan pentadbiran PAS lebih efisien
dan sistematik apabila konsep ini diterapkan kepada setiap ahli PAS.
8. Jelas
sekali pendekatan Ustaz Fadzil yang lebih sederhana telah membawa PAS berada di
puncak popularitinya. Kehebatan dan keunggulan PAS lebih menyerlah apabila PAS
menjadi tunjang kepada mobilisasi rakyat terhadap sesuatu masalah, tidak
terlalu ketat dalam menetapkan sesuatu perihal asalkan tidak bertentang dengan
agama, malah PAS zaman Ustaz Fadzil sentiasa bersahabat dengan semua pihak
menjadikan PAS diterima sebagai parti politik nasional. Penerimaan PAS dengan
lebih meluaskan akan memudahkan kegiatan dakwah berjalan sama ada mengikut
jalur politik atau pendidikan dua-dua bergerak atas nama keyakinan kepada
kesederhanaan PAS.
Ulasan
Catat Ulasan