1. Hari
demi hari gendang Pilihan Raya Umum dipalu bertalu-talu. Khususnya di pihak
Barisan Nasional (BN) mahu PRU diadakan segera. Tambah Presiden UMNO sendiri
mengemukakan sebab-sebab mengapa PRU harus diadakan secepat mungkin. Namun
sehingga hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri masih dilihat belum cenderung
untuk membubarkan Parlimen meskipun didesak oleh pimpinan UMNO sendiri.
2. Baru-baru
ini juga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menubuhkan
Gagasan Tanah Air (GTA) yang diasaskan bersama partinya PEJUANG, parti pimpinan
Ibrahim Ali, PUTRA dan beberapa parti lain berasaskan melayu Islam. Kata Tun,
penubuhan gagasan ini untuk dijadikan pilihan kepada orang melayu bergantung
harap dalam PRU akan datang agar melayu kembali dipulihkan kedudukannya. Tambah
beliau, UMNO sebagai parti harapan orang melayu sebelum ini tidak boleh
dipertaut lagi akibat masalah korupsi dan integriti parti.
3. Apabila
menyebut soal kedudukan melayu Islam, kita lihat semua parti berasaskan melayu
yang mempunyai pengaruh dan kedudukan yang besar pernah menjadi kerajaan di
Putrajaya. UMNO, PAS, AMANAH dan BERSATU, kesemuanya pernah menjadi menteri dan
timbalan menteri di peringkat kerajaan persekutuan. Maka dalam PRU akan datang,
pastinya selain mengikut sentimen dan ideologi yang ditaja berhari-hari, orang
melayu akan mengukur sejauh mana keupayaan parti-parti yang ada memimpin
kementerian masing-masing. Malah orang melayu juga turut melihat sejauh mana
pemimpin-pemimpin ini menggunakan kedudukan dan tanggungjawab yang ada untuk
membangunkan bangsa melayu.
4. Bagi
penulis, selain UMNO atas kapasitinya yang memerintah dalam tempoh yang lama
iaitu lebih 60 tahun, AMANAH merupakan parti melayu Islam yang telah memberikan
kesan yang besar kepada kedudukan negara dan politik Malaysia. Orang-orang
melayu mungkin perlu mempertimbangkan sebab-sebab yang penulis catatkan ini
sama ada AMANAH layak dipilih sebagai parti untuk orang Melayu Islam berharap
dan berpaut atau tidak?
5. Ketika
AMANAH diberikan tanggungjawab sebagai pemerintah, 5 menteri yang dilantik
daripada kalangan ahli parlimen AMANAH menunjukkan prestasi yang luar biasa.
Meskipun diburukkan imej oleh penyerang siber tajaan pesaing mereka, menteri AMANAH
berjaya memberikan impak jangka masa panjang kepada keadaan Malaysia hari ini.
Pertama, Dr. Dzulkefly Ahmad yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah memperkenalkan arahan melarang
orang awam menghisap rokok di kedai makan. Mulanya ia membangkitkan kemarahan
dan tentangan hebat bukan setakat pihak lawan, malah rakan dalam PH sendiri.
Akhirnya semua menyedari bahawa ia adalah tindakan paling tepat untuk membentuk
kembali sebuah masyarakat sihat dan cergas. Kini, melalui dasar yang dimulakan
oleh Dr. Dzul, Khairy Jamaludin meneruskan agendanya dengan akan
menguatkuasakan larangan merokok kepada mereka yang lahir pada dan selepas
tahun 2017. Inilah satu-satunya buah tangan Dr. Dzul yang akan dikenang sebagai
usaha menyihatkan orang melayu dalam kehidupan.
6. Mohamad
Sabu pula meski diejek dan dipandang rendah apabila diberikan amanah sebagai
Menteri Pertahanan juga turut memberikan buah tangan yang luar biasa kepada
masyarakat umum. Buat pertama kalinya, di parlimen, Mohamad selaku MenHan
membentangkan Kertas Putih Pertahanan Negara sebagai salah satu usaha
menjadikan amalan pentadbiran pertahanan negara yang amat penting ini di
lakukan secara telus dan diketahui oleh pihak parlimen sebagai anggota
penggubal undang-undang tertinggi negara. Bukankah pertahanan negara merupakan
satu sektor terpenting dan ia juga merupakan satu elemen penting kepada
kelangsungan hidup orang melayu Islam, oleh itu tindakan Presiden AMANAH itu
memang wajar.
7. Ertinya
keberadaan mereka dalam pentadbiran di Putrajaya bukan lah sekadar memanaskan
kerusi yang diberikan, sebaliknya ia memberikan impak yang besar kepada
kelangsungan hidup masyarakat khususnya orang melayu Islam.
8. Selain
itu, dasar agama yang dibawa oleh AMANAH mendapat tempat yang diiktiraf oleh
pucuk pimpinan negara. Melalui Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa,
Dasar Islam Rahmatan Lil Alamin dijadikan sebagai dasar Islam Malaysia ketika
Pakatan Harapan memerintah. Ia bukan sekadar dasar syok sendiri daripada
AMANAH, malah ia diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu sebagai dasar Islam
negara. Keupayaan Dr. Mujahid amat luar biasa dalam mengangkat kedudukan Islam
dalam pentadbiran Malaysia sedangkan PAS sendiri sebagai parti yang diletakkan
perkataan Islam tidak berupaya memperkenalkan dasar Islam beliau meski sudah
memerintah lebih 2 tahun.
9. Daripada
aspek politik pula, AMANAH terbukti sebagai parti yang tidak pernah
meninggalkan sahabat ketika berpakat dalam politik. Sehingga hari ini AMANAH
kekal bersama KEADILAN dan DAP dalam PH. Sebaliknya PAS sebuah parti pesaing
AMANAH jelas sentiasa membelakangkan hubungan setia kawan apabila munculnya
peluang baru yang mungkin menguntungkan PAS. Siapa kah yang membatalkan
hubungan dalam Pakatan Rakyat meski mereka masih memerintah Selangor dan Pulau
Pinang? Siapakah yang dulunya berkobar-kobar dalam Muafakat Nasional, tetapi
meninggalkannya setelah wujudnya Perikatan Nasional? Apa yang pastinya, dengan
tidak wujudnya semangat setia kawan ini, ia lebih mendorong keadaan politik
negara lebih kucar-kacir dan huru-hara. Keadaan yang tidak stabil ini akan
memberikan impak kepada kelangsungan hidup orang melayu.
10. Akhirnya,
kepimpinan AMANAH yang bergerak secara kolektif sebenarnya telah membenamkan
sikap fanatik dan taksub penyokong parti kepada tokoh mahupun individu.
Bergerak secara berkumpulan menuntut tahap kerjasama dan berpasukan yang
tinggi. Tidak ada seorang pun yang boleh mendabik dada sebagai perwira tanpa
dokongan pasukan. Oleh itu, ia benar-benar meleburkan amalan mengangungkan
tokoh sehingga memudaratkan silaturahim khususnya amalam takfiri. Sedarkah
bahawa amalan takfiri dan pecah perintah sebenarnya telah melemah keupayaan
orang melayu?
11. Oleh
itu, penulis merasakan AMANAH akan menjadi pilihan orang melayu dalam PRU akan
datang setelah menilai dan melihat keupayaan AMANAH sebagai sebuah parti
politik dan parti yang pernah mentadbir negara. Keupayaan orang melayu Islam
akan menjadi faktor penting kepada kelangsungan dan kemajuan negara.
Ulasan
Catat Ulasan