1. Sejak
beberapa siri Pilihan Raya Umum yang lalu kerusi Parlimen Gombak merupakan
kerusi yang sering menjadi pertempuran. Bukan dikategorikan kerusi pertempuran
tokoh-tokoh besar, namun ia tetap menjadi perhatian penganalisis politik dalam
dan luar negara memandangkan sejak tahun 2008, kerusi Parlimen Gombak ini
disandang oleh pemimpin politik besar iaitu Azmin Ali. Azmin Ali yang sebelum
ini dikenali sebagai orang kanan Anwar Ibrahim menapak ke puncak kepimpinan
KEADILAN sehinggalah dipilih sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.
2. Dalam
lipatan sejarah, Parlimen Gombak diwujudkan setelah proses persempadanan semula
kerusi-kerusi Parlimen dan DUN pada tahun 1995. Sebelum PRU ke-9, pengundi
dikawasan Gombak berada dibawah Parlimen Selayang. Sejak kewujudan Parlimen
Gombak, Barisan Nasional melalui UMNO berjaya menawan kerusi ini sebanyak 3
kali iaitu pada tahun 1995, 1999 dan 2004, begitu juga melalui pembangkang atau
parti anti-BN, mereka berjaya memenangi kerusi Gombak sebanyak 3 kali iaitu
pada tahun 2008, 2013 dan 2018.
3. Dalam
tempoh hampir 3 dekad ini, Gombak telah pun mempunyai 3 orang wakil rakyat.
Selain nama Azmin Ali yang hebat selaku bekas Menteri Besar Selangor, bekas
Menteri Ekonomi dan kini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
itu, Zaleha Ismail juga merupakan tokoh besar yang menjadi ahli Yang Berhormat
bagi Parlimen Gombak. Bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat tahun
1995 hingga 1999 itu merupakan ahli parlimen Gombak yang pertama. Dengan
keberadaan Zaleha Ismail selaku ahli politik wanita bertaraf menteri di Gombak,
membuat kerusi Gombak kekal menjadi perhatian umum. Zaleha Ismail meninggal
dunia pada 14 November 2020.
4. Gelombang
reformasi yang melanda negara menyebabkan Zaleha Ismail berjaya mengekalkan
kerusi Gombak hanya dengan majoriti 800 undi sahaja, ini mendorong pimpinan
UMNO/BN meletakkan muka baru sebagai calon. Akhirnya Dr. Rahman Ismail pakar
perubatan dipilih sebagai Ahli Parlimen Gombak dengan majoriti 13,000 undi.
Namun gelombang reformasi yang dicetuskan pada tahun 1999 itu kembali meledak
pada tahun 2008 menyebabkan Said Anuar Said Ahmad (muka baru BN)tersungkur di
tangan Azmin Ali. Dr. Rahman Ismail dan calon bebas (Said Nazar) pernah mencuba
untuk mencabar Azmin pada tahun 2013, namun gagal dengan hanya perbezaan 4000
undi sahaja.
5. Kedudukan
yang dimenangi Azmin Ali pada tahun 2013 amat membimbangkan mendorong BN
meletakkan calon muka baru iaitu Abd Rahim Kamaruddin (pemimpin UMNO Bahagian).
PAS pula yang baru bercerai dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat juga
meletakkan Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin bertembung dengan Azmin Ali.
Malangnya startegi pecah undi PAS untuk membantu kemenangan BN memakan diri
apabila Azmin Ali berjaya bertahan di Gombak dengan majoriti hampir 50,0000
undi.
6. Kini
aliran politik sama sekali berubah, meski pertandingan 3 penjuru sering
berlaku, penyandang kerusi dilihat selesa mempertahankan kedudukannya.
Sebaliknya, adakah penyandang kerusi Azmin Ali akan mempertahankan kerusi
tersebut pada PRU ke-15 memandangkan peristiwa Langkah Sheraton yang
memperlihatkan Azmin dan pasukannya meninggalkan KEADILAN telah merobek hati
pengundi beliau di Gombak. Adakah selepas pengkhianatan ini, Azmin akan kekal
berada di kerusinya atau berpindah ke kerusi yang lebih selamat (pendalaman).
7. Perlu
diakui, selain ketokohan Azmin sebagai tokoh pelapis Anwar Ibrahim, faktor
kepembangkangan atau ant-BN itu sangat mengakar di Gombak menyebabkan Azmin
berjaya bertahan selama 3 penggal. Namun, Langkah Azmin Ali berpakat dengan BN
untuk membentuk kerajaan pintu belakang, benar-benar mengguris hati pengundi.
Maka bagaimana nasib Azmin jika ia tetap bertempur dalam PRU ke-15 di Gombak
atau Azmin akan memberikan laluan kepada PAS sekutunya untuk menawan kerusi
tersebut daripada tangan HARAPAN. Jika Gombak menyingkirkan Azmin daripada
kerusi empuknya dalam PRU akan datang, terbuktilah bahawa pengundi Gombak benci
akan sebarang pengkhianatan dan tergores dengan langkah Azmin.
8. Bagi
UMNO/BN pula, PRU kali ini menjadi titik penting untuk mereka menawan kerusi
Parlimen Gombak dan kerusi-kerusi lain melalui formula Muafakat Nasional.
Sentimen melayu yang dipasakkan melalui pembentukan MN didakwa mampu menobatkan
UMNO/BN sebagai kerajaan di Selangor. Melalui Megat Zulkarnain yang sedang cuba
memposisikan diri di Parlimen Gombak buat kali kedua (setelah gagal di Gombak
Setia pada tahun 2018), BN dilihat optimis atas cita-citanya itu. Apa yang
merunsingkan BN adalah sahabatnya PAS yang kecelaruan untuk memilih sama ada
bersama BERSATU mahupun UMNO/BN. Keputusan PAS itu boleh mempengaruhi
pencapaian BN di Gombak mahupun Selangor.
9. Selaku
penyandang kerusi yang dirampas mandatnya, HARAPAN akan mencuba melakukan apa
sahaja bagi mempertahankan kerusi mereka. Melalui KEADILAN, HARAPAN dilihat
lebih bermaya untuk mengekalkan kedudukanya di Gombak memandangkan dua kerusi
DUN yang menjadi faktor penyumbang kepada undi di Parlimen Gombak iaitu Hulu
Kelang dan Sungai Tua berpihak kepada HARAPAN. Cuma HARAPAN perlu menitik
beratkan soal calon yang akan diperturunkan di Gombak memandangkan seperti
penulis katakan diawal perbincangan ini, bahawa Gombak merupakan kerusi
tumpuan, usaha untuk menenanginya akan dilakukan termasuk meletakkan calon yang
popular, oleh itu HARAPAN juga perlu menimbangkan agar calon yang dipilih mempunyai
populariti di peringkat nasional yang baik.
10. Sebelum
ini ada ura-ura meletakkan Nurul Izzah untuk membenamkan Azmin di Gombak. Ia
tidak mustahil memandangkan Parlimen Gombak pernah dipimpin oleh seorang tokoh
politik wanita tanah air. Setelah Rafizi
Ramli membuat kemunculan, kerusi Gombak juga antara kerusi yang mungkin boleh
disediakan kepadanya. Hal ini kerana Azmin dan Megat bukanlah calang-calang
ahli politik. Mereka adalah politikus bertaraf nasional dan popular, oleh itu
calon yang popular seperti Rafizi boleh diperturunkan di Gombak. Malah Menteri
Besar Selangor sendiri, Amiruddin Shari yang kini Naib Presiden KEADILAN paling
kanan (posisi yang pernah Azmin Ali duduki) layak untuk diberikan tanggungjawab
untuk mempertahankan kemenangan HARAPAN di Gombak. Pengaruh sebagai Menteri
Besar akan memudahkan langkah HARAPAN untuk memenangi kerusi Parlimen Gombak.
11. Jelaslah
walaupun PRU ke-15 menjadi lebih sengit atas faktor undi18, namun usaha untuk
memenanginya sudah pun bermula sekarang. HARAPAN, BN, PAS dan BERSATU sedang
cuba menawar pelbagai kemudahan kepada pengundi Gombak supaya mereka dipilih
sebagai wakil rakyat mereka. Kita mampu memerhati dan meramalkan keadaan yang
bakal berlaku, namun hakikat sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan politikus
serta kewarasan pengundi yang memilih.
Ulasan
Catat Ulasan