1. Setelah
Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM10, orang awam khususnya rakyat berkelas
sedarhana terus meruja teruja dengan sosok pemimpin Malaysia yang baru. Hampir
setiap hari, ada sahaja kenyataan mahupun tindakan yang dilakukan oleh PM10
mencetuskan pandangan positif rakyat kepada masa depan negara ini.
2. Bukan
setakat ahli KEADILAN dan penyokong HARAPAN sahaja yang memerhatikan kepimpinan
pemimpin dambaan mereka ini, malah rakyat juga mula memberikan perhatian dan
sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun ini.
3. Namun
keterujaan ini hanyalah daripada padangan umum sahaja, sebaliknya bagi
penggerak parti politik, masa pertarungan kembali tiba apabila 6 negeri
dibubarkan dalam tempoh 6 bulan daripada sekarang. Semestinya ketenangan dan
kedamaian yang dikecapi selepas kerajaan perpaduan ini dibentuk akan terhakis
apabila kesemua parti politik khususnya HARAPAN dan PAS yang terpaksa
mempertahankan negeri masing-masing dalam PRN kali ini.
4. Propaganda
yang dicetuskan oleh PN benar-benar mengejutkan ramai pihak, HARAPAN perlu akui
bahawa propaganda PN yang menggagalkan usaha HARAPAN untuk memungut sekurangnya
100 kerusi dalam PRU lalu seterusnya menggagalkan urusan HARAPAN membentuk
kerajaan persekutuan. Lebih membimbangkan jika propaganda PN ini meledak di
tiga buah negeri HARAPAN iaitu P.Pinang, Selangor, N.Sembilan sambil
mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
5. Faktor
keterujaan rakyat kepada Anwar sebagai PM10 wajar dimanfaatkan oleh semua
penggerak HARAPAN di enam buah negeri. Malah kesepaduan antara HARAPAN dan BN
dalam kerajaan sekarang mesti dijana dan dijaja dalam kempen PRN kelak. Masih
ingatkah pada tahun 2008, sosok Anwar berjaya mengejutkan BN apabila berjaya
merampas 4 buah negeri utara dan pantai barat dan itu permulaan kepada HARAPAN
merintis jalan ke Putrajaya.
6. Ertinya
strategi dan kewibawaan Anwar mampu mempengaruhi kemenangan calon HARAPAN dan
BN dalam PRN yang bakal tiba, bukan lagi sebagai Ketua Pembangkang, tetapi PM
Malaysia, PN pasti goyang. Namun penulis kemukakan 3 faktor awal yang mampu
mengganggu ketokohan Anwar daripada berjaya mempengaruhi prestasi HARAPAN dan
BN dalam 6 PRN akan datang.
PENGAWALAN NARATIF EKSTRIMIS
7. Jika
diperhatikan, PN berjaya menawan kerusi-kerusi kubu HARAPAN hanya kerana
menggunakan sebaran maklumat yang berbentuk perkauman dan agama. Nilai
ketakutan dipergunakan oleh PN untuk mendorong pengundi memberi undi kepada
mereka meskipun calon mereka jauh lebih mentah berbanding calon HARAPAN.
8. Penulis
setuju jika amalan ekstrimis ini dilawan dengan agenda dan inisiatif kerajaan
untuk membantu rakyat, tetapi dalam masa yang sama, kerajaan harus memanfaat
dan melipat gandakan usaha menyampaikan maklumat dan mengekang maklumat
ekstrimis kepada rakyat. Hal ini kerana, jika maklumat ekstrimis kekal
bertebaran dalam masa yang sama inisiatif kerajaan kekal berjalan, ia tidak
akan mempengaruhi orang awam sekali pun untuk menyokong kerajaan, kecanduan
kepada elemen agama dan kaum mengaburi budi baik kerajaan pada mereka.
9. KKD
menjadi penguasa paling hadapan bertindak menghentikan segala sebaran maklumat
berbentuk kebenciaan kepada orang awam dengan pelbagai agensi dibawahnya. JAKIM
pula yang mempunyai menteri bukan daripada kalangan parti politik, boleh
membina naratif jalan tengah kepada masyarakat untuk bersama dengan kerajaan
melalui teks khutbah, YADIM dan TV Al-Hijrah. KPM pula, perlu menyegerakan
elemen wassatiy dalam masyarakat majmuk melalui pelbagai program pendidikan
disekolah, kerana hanya KPM sahaja yang mampu menembusi pemikiran anak-anak
secara formal.
10. Jika
amalan ektrimis ini tidak dikekang menjelang PRN akan datang, nescaya ketokohan
Anwar sebagai PM sukar mempengaruhi pengundi.
PRESTASI MENTERI DAN TIMBALAN
MENTERI
11. Sesuatu
yang harus kita terima, kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim tidak dipikul
oleh beliau seorang, ia dipikul oleh barisan menteri kebinetnya sekali. Setiap
keputusan yang diputuskan oleh kerajaan merupakan keputusan kolektif jemaah
menteri. Meskipun begitu, segala isu dan usaha berbangkit akan berkait rapat
dengan menteri yang diberikan tanggungjawab khusus dalam sesuatu bidang. Jika
menteri tidak mahu membangkitkan mahupun mengusahakan sesuatu perihal, maka ia
tidak sampailah ke meja mesyuarat jemaah menteri.
12. Oleh
itu, menteri dan timbalan menteri amat mempengaruhi ketokohan Anwar lantas
mengganggu gelombang beliau dalam PRN akan datang. Misalnya, kelembapan sesuatu
isu diolah oleh menteri akan mempengaruhi undi rakyat. Benar, Anwar juga
manusia biasa yang ada keazaman yang tinggi, namun kewibawaannya tidak boleh
diambil sekali harung kepada semua menterinya. Menteri melalui inisiatifnya
sendiri perlu membina ketokohan dan persepsi baik kepada umum. Langkah
komunikasi menjadi jalan utama menteri dan timbalan menteri supaya mesej yang
jelas sampai kepada rakyat marhaen. Jika itu dapat diatasi bukan setakat
ketokohan Anwar, malah kecekepan menteri juga akan memindahkan undi PN ke
HARAPAN dan BN.
PENGUASAAN PARTI DALAM KERAJAAN
13. Mantra
‘Parti Menguasai Kerajaan’ harus diterjemahkan dengan prinsip dan nilai asas
sesebuah demokrasi. Tanpa merobek atau menyalahgunakan kedudukan yang ada,
elemen kepartian parti politik yang menang harus diserap dalam kerajaan atas
asas yang disediakan. HARAPAN jangan terpedaya atau dimanipulasikan dengan
prinsip integriti semata-mata, dalam masa yang sama ruang yang diisi oleh parti
dalam kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kita harus sedar bahawa pengundi
akan memilih parti yang bertanding dalam Pilihan Raya, oleh itu sedikit sebanyak
usaha kerajaan itu mestilah usaha parti juga.
14. Dasar
kerajaan mestilah berpaksikan aspirasi dan tawaran parti, disinilah kepentingan
memilih parti dalam Pilihan Raya dan disini jugalah rakyat melihat ketekunan
pemimpin mengotakan tawaran kepada rakyat. Justeru, selain merit yang sesuai,
anggota parti mesti berada diposisi yang sesuai demi menjana imej parti dalam
kerajaan. Lantikan-lantikan dibawah kerajaan mesti dikalangan orang parti yang
mempunyai merit mahupun keupayaan untuk memikul amanah tersebut. Dengan cara
itu, pengundi akan melihat ketekunan kerajana hari ini dan dipindahkan kepada
parti politik kerajaan dalam PRN akan datang.
15. Kegagalan
‘Parti Menguasai Kerajaan’ hanya akan memberi ruang sabotaj dan langkah
manipulasi imej pihak lawan kepada kerajaan. Seterusnya ia akan mempengaruhi
ketokohan Anwar Ibrahim sebagai PM kerana orang tidak mengetahui Anwar ini
daripada parti mana. Di kertas undi, logo parti yang diletakkan, bukan wajah
Anwar. Maka harus kita berwaspada.
16. Inilah
3 faktor awal yang penulis rasa mampu menggugatkan ketokohan Anwar Ibrahim
sebagai PM ke-10 daripada mempengaruhi pengundi PRN 6 Negeri kelak. Jangan kita
lalai dan ego dengan kejayaan kita berada di Putrajaya sehingga terlepasnya 3
buah negeri HARAPAN dan gagal memenangi sebagai kerusi di negeri PAS.
Ulasan
Catat Ulasan