1. Sesi
pembuangan undi bagi Pilihan Raya Negeri Johor akan tiba tidak lama lagi. Semua
parti-parti yang bersaing sedang bertungkus-lumus bertemu pengundi untuk
berkempen sebelum tempoh kempen tamat. Namun, dalam kita melihat kepada sebab
dan kesan kepada percaturan politik Johor sejak Langkah Sheraton, ada seorang
insan yang tenang dan kekal istiqamah dalam kepimpinannya. Walaupun beliau
terpaksa dihimpit ke dalam masalah yang dibuat oleh bekas rakan-rakannya dan
seteru politiknya. Beliau tetap memainkan peranan untuk memastikan kebajikan
rakyat Johor tetap terjamin.
2. Beliau
yang dimaksudkan adalah Cikgu Aminolhuda selaku Ketua Pembangkang DUN Johor
sebelum dewan dibubarkan. Graduan Sarjana Muda Pengkhususan dalam Mata
Pelajaran Matematik dan Fizik serta
Diploma Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini merupakan figura
paling penting memimpin pembangkang ketika kerajaan BN/PN Johor hanya mempunyai
kelebihan beberapa kerusi sahaja berbanding pembangkang. Jika beliau mendahulukan kepentingan kuasa dan
kemahuan politiknya, sudah pasti beliau mampu menggoyahkan kerajaan BN/PN
Johor. Namun beliau menolak dengan bersetuju diadakan MOU antara kerajaan dan
pembangkang bagi memastikan kestabilan politik di Johor tercapai seterusnya
fasa pemulihan boleh berlaku.
3. Selain
itu, beliau bersama rakan-rakan komponen PH yang lain iaitu Liew Chin Tong
(DAP) dan Syed Ibrahim (KEADILAN) antara yang awal membantah diadakan Pilihan
Raya Johor dalam keadaan negara baru pulih dari bencana Covid-19. Cukuplah
banyak usaha PH untuk membantu dan mebnagunkan rakyat terbantut semasa kerajaan
PH tumbang. Namun, kerakusan BN/PN untuk
bersaing sesama sendiri menatijahkan sebuah PRN diadakan di Johor yang pastinya
terus menyusahkan rakyat.
Bertukar-tukar peranan dan tanggungjawab
4. Sebelum
menyertai politik sepenuh masa, Cikgu Aminolhuda telah berkhidmat sebagai
pendidik di serata Negeri Johor selama 30 tahun. Setelah bersara, barulah
beliau bergiat aktif sebagai ahli dan pimpinan PAS Johor sehingga dilantik
sebagai Pesuruhjaya PAS Johor pada tahun 2013. Semasa itu beliau telah pun
menjadi wakil rakyat Parit Yaani apabila berjaya mengalahkan calon BN-MCA
dengan majoriti seribu lebih undi. Sejak itu, ketokohan Cikgu Aminolhuda
menjadi perhatian umum memandangkan misi PAS ketika itu untuk meruntuhkan kubu
BN di Johor berada di kemuncaknya.
5. Sedang
usaha membina momentum pembangkang untuk menawan Johor dan Putrajaya, PAS
mengalami perpecahan yang sangat besar menyebabkan ramai ahli dan pimpinan PAS
keluar parti untuk menubuhkan AMANAH. Cikgu Aminolhuda yang ditekan oleh
golongan konservatif di Johor juga keluar PAS dan membangunkan AMANAH Johor
pada tahun 2015. Setelah berperanan besar sebagai pembangkang di Johor,
akhirnya pada 9 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Johor dan
Putrajaya. Cikgu Aminolhuda kekal menang di Parit Yaani dan dilantik sebagai
Exco Kanan dalam Kerajaan Johor.
6. Pengerusi
AMANAH Johor ini diamanahkan sebagai Exco yang menjaga portfolio Hal Ehwal Agama
Islam dan Pendidikan. Memang selayaknya bidang tersebut diserahkan kepada
beliau memandangkan beliau adalah bekas pendidik dan sedang memimpin parti
Islam progresif dalam PH. Rombakan kecil berlaku pada tahun 2019 melibatkan
seorang menteri besar dan 3 exco Johor. Cikgu Aminolhuda terlibat sama apabila
diamanahkan untuk memegang portfolio pendidikan, sumber manusia dan kesihatan
Johor. Dalam keadaan yang sedikit gelora, Cikgu Aminolhuda tetap tenang.
Sehinggalah Langkah Sheraton berlaku, beliau perlu memimpin pembangkang selaku
Ketua Pembangkang DUN Johor pula.
Diuji sebagai pemimpin yang bernilai
7. Meski
Cikgu Aminolhuda dikhianati oleh rakan-rakannya dalam kerajaan, beliau tetap
istiqamah melakukan apa sahaja demi kebaikan Johor. Kepimpinannya berasaskan
apa yang rakyat dapat manfaat dari sesuatu tindakan. Nilai hidupnya tidak
pernah berubah sejak dahulu, sebagai pendidik, fikirannya hanya memikirkan apa
yang terbaik boleh diberikan dan diperoleh oleh muridnya. Kini nilai itu
diterjemahkan kepada rakyat Parit Yaani dan Johor.
8. Semasa
menjadi Exco Pendidikan, karisma beliau menjadi perhatian umum apabila pada Jun
2019 isu video ibubapa sedang memarahi guru yang merotan anaknya sedang tular
di media sosial. Kejadian itu berlaku di sebuah sekolah di Johor. Tanpa
melibatkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Cikgu Aminolhuda
sendiri berjaya menyelesaikan masalah tersebut tanpa melibatkan tindakan
undang-undang dua belah pihak dengan kerjasama PPD dan PIBG. Ternyata Cikgu
Aminolhuda yang punya pengalaman dan mahir dalam selok-belok berurusan dengan
guru dan ibubapa, berjaya membentuk sebuah keputusan yang menang-menang bagi
kedua-dua belah pihak.
9. Dalam
pada itu, pernah dalam satu program, beliau menyampaikan bantuan kepada pelajar
miskin di Johor Bahru, beliau sebak ketika menyampaikan ucapannya selaku Exco
Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor. Kata beliau, secara peribadinya
beliau tidak mahu ada seorang kanak-kanak pun yang tercicir dari pendidikan.
Jiwa seorang guru yang beliau punyai, mewajahkan kepimpinan beliau yang sangat
cakna kepada pendidikan anak-anak Johor. Beliau mampu bayangkan bagaimana
perasaan seorang anak-anak yang tidak mampu belajar hanya kerana tidak
mempunyai duit yang mencukupi.
10. Lebih-lebih
lagi, apabila BN yang kalah dalam PRU 2018 serta PAS yang tidak pernah berjaya
menawan Putrajaya secara bersendirian, sentimen perkauman dan agama kuat
ditiupkan. Cikgu Aminolhuda selaku Exco Hal Ehwal Agama Islam selalu menjawab
tohmahan-tohmahan BN dan PAS semasa menjadi kerajaan dahulu. Kini terbukti, BN
dan PAS duduk sebagai kerajaan sekalipun, melayu Islam tetap dipinggirkan oleh
pemimpin politik mereka. Semuanya apabila kuasa, wang dan kedudukan telah
mereka peroleh.
Maju terus untuk Parit Yaani dan Johor
11. Mengakhiri
episod kepimpinan beliau apabila pandemik Covid-19 muncul di Malaysia, antara
kes awalnya datang dari Singapura memasuki Johor. Beliau yang memikul amanah
sebagai Exco Kesihatan juga pantas dan cekap melaksanakan tindakan pengawalan
daripada Covid-19 merebak. Dengan kerjasama KKM dibawah pimpan Dr. Dzulkefly
dan NADMA dibawah Dr. Wan Azizah berjaya mengekang wabak ini. Malangnya
berlakunya Langkah Sheraton oleh pimpinan PN sekarang ini, seminggu negara
tiada pemimpin menyebabkan Covid-19 merebak dan memaksa rakyat berkurung di
rumah dibawah arahan PKP.
12. Penulis
mengharapkan Cikgu Aminolhuda ini terus diberikan peluang oleh rakyat Johor di
Parit Yaani, seterusnya memilih PH sebagai kerajaan Johor yang baharu. Walau
apa pun posisi yang diberikan kepada Cikgu Aminolhuda, penulis yakin ia akan
tetap memberikan keuntungan kepada rakyat Johor. Kekecewaan terbesar Cikgu
Aminolhuda apabila kerajaan PH tumbang adalah misi kerajaan PH Johor untuk
mewujudkan sebuah Universiti Johor terbantut akibat mainan politik BN dan PN. Betapa
besar kesan buruknya sebuah mainan politik kepada nasib anak-anak Johor.
13. Penduduk
di Parit Yaani telah selesa dengan Cikgu Aminolhuda, oleh itu tugas anda keluar
mengundi seramai yang mungkin bagi memenangkan Cikgu Aminolhuda disana. Jangan
andaikan Cikgu Aminolhuda sudah menang, tak perlu keluar mengundi, kerana
kurangnya jumlah pengundi menyebabkan BN akan menang. Selain itu, rakyat Parit
Yaani boleh mendorong anak-anak muda yang akan mengundi Sabtu ini dengan
menyampaikan manfaat jika memilih Cikgu Aminolhuda. Akhirnya seluruh rakyat
Johor, jika mahu Cikgu Aminolhuda menjadi pemimpin kerajaan Johor dan mahu
mejiwai kepimpinanya, undilah PH, KEADILAN dan MUDA disetiap DUN yang ada dalam
PRN kali ini. Penulis percaya, apabila Cikgu Aminolhuda memimpin, tiada yang
akan tercicir.
CIKGU AMINOLHUDA FOR PARIT YAANI,
HARAPAN FOR JOHOR
Oleh,
Cikgu Syazmir HN
Ulasan
Catat Ulasan