1. Sejak
Langkah Sheraton, dunia politik menjadi panas dan terumbang-ambing sama seperti
sebelum kejatuhan Barisan Nasional dan Najib Razak selepas PRU14. Namun kali
ini sedikit berbeza apabila kehangatan politik hari ini tidak segah seperti
sebelum-belum ini kerana Pakatan Harapan mahupun pembangkang, dilihat gagal
bangkit semula setelah dicederakan oleh pengkhianat Langkah Sheraton. Sehingga
hari ini PH dan pembangkang masih mencari formula terbaik bagi menyaingi BN dan
Perikatan Nasional.
2. Pertarungan
demi pertarungan melibatkan PRN, undian di Dewan Rakyat serta perlumbaan
mendapat sokongan majoriti sebagai kerajaan menghambat PH terkebelakang. BN
pula mula merasa peluang untuk mereka memerintah Putrajaya semula dengan kuasa
penuh akan menjadi kenyataan dengan ketempangan PH. Pengundi atas pagar yang
memberi sokongan kepada PH semasa PRU14 pula mengambil sikap tidak keluar
mengundi atas faktor kecewa kepada apa yang terjadi pada PH dan masih tidak
menyokong BN.
3. Hampir
kesemua penganalisis politik menyatakan bahawa PH mengalami krisis kepimpinan
setelah Tun M dan para pengkhianat meninggalkan PH. Sama niat penganalisis itu
mahu memburukkan atau memang itu kenyataannya, PH wajar melihat akan
permasalahan tersebut. Sekurang-kurangnya ada satu aspek yang telah diperbaiki
oleh PH untuk kembali bangkit mencabar BN/PN.
4. Soalnya
sepanjang tempoh pasca Langkah Sheraton, tidak pernahkah sekalipun PH
bermuhasabah diri untuk membina semula kekuatan? Tidak pernahkah pimpinan
setiap parti dalam PH membaiki gaya dan strategi kepimpinannya akan kepimpinan
mereka kekal relevan dan PH boleh diperkasakan? Sebenarnya ia tidak dilakukan
banyak kali. Retreat PH di Port Dickson antara langkah yang diambil. Namun ia
tidak menjadi kemana, kerana retreat sekadar retreat dan selepas itu pimpinan
balik semula untuk bermimpi dengan mimpi masing-masing.
5. Cabaran
paling besar untuk memperkukuhkan ikatan dan langkah parti-parti komponen PH
adalah keegoan atau ke ‘aku’an masing-masing yang melemahkan. Ada pula pimpinan
dari parti dalam PH menyatakan kejayaan ini merupakan kejayaan parti tertentu
semata-mata menyebabkan sifat sangka buruk dan
tidak saling mempercayai wujud dalam PH. Akhirnya apa yang dituntaskan
dalam retreat tidak berjaya dilaksanakan. Satu lagi adalah kisah silam PH
dipimpin oleh Tun M dan kegagalan beliau bersama kabinetnya mempertahankan PH
sebagai kerajaan menjadi asas kepada golongan ini yang sentiasa menolak prinsip
keharmonian dalam PH. Mereka menggangap mereka yang masih berhubung dengan Tun
M masih mahu menjadikan Tun sebagai PM sekali.
6. Tidakkah
kita sedar bahawa aspek ini yang sedang melemahkan kita. Tambahan pula, bersikap
fanatik tak tentu arah lebih mengucar-ngacirkan keadaan. Bukankah gagal
menyelesaikan isu logo merupakan tanda ke‘aku’an masing-masing masih menebal?
Akhirnya PH jatuh sebagai gabungan nombor tiga dibelakang BN dan PN. Puncanya
hanya ego antara parti khusunya strategi. PH mahu perkenalkan gabungan parti
yang saksama, tiada abang long dalam PH, tetapi isu keegoan tak dapat
dikendurkan. Maka apa guna kita saksama, lebih baik jadi BN yang UMNO
memimpinya, atau PN yang PBBM memimpinnya.
7. Maka
penulis mahu menyatakan bahawa perkara diatas harus diatasi sesegera mungkin.
Terduduk kita apabila Rafizi Ramli menyatakan bahawa PH hanya perlu fokus 80
kerusi untuk menjadi pembangkang terkuat dahulu berbanding ingin membentuk
kerajaan PH. Sedangkan itulah hakikat yang perlu diterima dengan keadaan PH
yang lemah. Berbalik kepada isu kepimpinan, penulis mencadangkan amatlah sukar
untuk meminta Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng untuk berundur
dikala PH sedang dirundung malang. Namun penulis mengharapkan tokoh yang perlu
dikedepankan mestilah orang yang berbeza. Ibaratnya, Anwar, Mat Sabu dan Guan
Eng boleh kekal sebagai ketua pasukan dalam acara bola padang, namun peranan
sebagai penyerang untuk menjaringkan gol perlu diserahkan kepada orang lain
yang lebih segar dan muda.
8. Mengapa
penulis katakan demikian, kini demografi pengundi bertambah rencam. Undi 18
masih belum ada petunjuk pihak mana yang akan dapat menguasai meski PRN Johor
telah memulakannya. Tambahan pula, kisah silam dalam politik Malaysia seperti
reformasi 1998 dan Wawasan 2020 serta legasi percaturan pimpinan UMNO menguasai
Malaysia hampir tidak relevan kepada golongan muda. Pertikaian satu ketika
dahulu mampu membentuk kisah politik hari ini. Maka ditimbulkan muka-muka baru
yang kurang cerita politik dahulu kala boleh mengembalikan semula kecaknaan
pengundi muda dan atas pagar.
9. Kelesuaan
politik akibat Langkah Sheraton membuatkan rakyat menghukum semua ahli politik.
Episod politik zaman Tun dan Anwar serta watak-watak lain seangkatannya telah
dilabelkan jemu oleh masyarakat biasa. Maka ia perlulah diganti. Penulis tidak
berhendakkan sesiapa untuk menjadi penyerang setiap parti dalam PH. Ia boleh
ditentukan oleh strategi mereka sendiri. Cuma penulis sengaja letakkan gambar
Anthony Loke, Adly Zahari dan Rafizi Ramli menghiasi poster rencana ini kerana
bagi penulis mereka antara yang layak serta punya ‘weight’ untuk menjadi
penyerang pasukan. Namun tidak pula penulis membelakangkan Salahudin Ayub,
Gobind Singh dan Saifudin Nasution. Mereka juga ada potensi.
10. Cuma
penulis nak katakan, pemain penyerang mestilah boleh mempengaruhi rakyat untuk
mendengar langkah dan syarahnya. Jika ia berlaku itu baru menjaringkan gol.
Situasi ini tidak berlaku dalam parti selain PH, kerana mereka kekal bergantung
kepada pimpinan ‘heavyweigth’ mereka. Dialah kapten, dia juga penyerang. Najib,
Mahiaddin, Hadi Awang, Wee Ka Siong, M. Saravanan, Dominic Lau, Syed Saddiq dan
Tun Dr. Mahathir adalah parti yang bergantung sepenuhnya kepada pimpinan utama
mereka untuk menjaringkan gol. Sedangkan muka mereka sudah tidak diterima
masyarakat lagi. Oleh itu, PH perlu mengorakkan langkah.
11. Dalam
masa yang sama, pemain penyerang ini mesti diberikan tanggungjawab untuk
menyatakan pendirian PH, diberikan ruang untuk terlibat sama dalam Majlis
Presiden serta berhak sedikit sebanyak untuk mencatur gerak kerja parti dengan
sokongan Presiden masing-masing. Dibawah Majlis Presiden PH, wujudkan Badan
Induk Pelaksana yang memainkan peranan untuk mengelolakan strategi yang telah
diputuskan oleh Majlis Presiden PH. Maaf kalau saya ambil contoh PAS. Majlis
Presiden semacam Majlis Syura PAS yang memandu arah tuju PH, manakala Badan
Induk Pelaksana adalah Ahli Jawatankuasa Pusat didalam PAS.
12. Berikan
ruang untuk tokoh baru duduk didepan membawa PH kembalikan keyakinan rakyat.
Mengapa tak diturunkan sahaja Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng, itu lebih mudah.
Penulis sentiasa cuba memikirkan adakah jalan lain selain mereka turun dari
kepimpinan, kerana bagi penulis sehingga hari ini masing-masing punya kekuatan
untuk mengepung sebahagian undi. Mereka masih berkeupayaan untuk mengekalkan
beberapa undi PH PRU lalu, namun bukan untuk tukang jaringkan gol. Penulis
sedar, bahawa DAP perlu melipat gandakan usahanya apabila tokoh lagenda mereka
Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya. Hal ini kerana Kit Siang masih punya
kekuatan walaupun bukan duduk didepan memimpin PH. Samalah juga dengan Anwar,
Mat Sabu dan Guan Eng.
13. Mungkin
ini peluang terakhir Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng membantu membebaskan rakyat
Malaysia dari cengkaman BN. Jika selepas PRU 15 masih tidak berjaya, transisi
kepada golongan muda baru telah dibuat melalui Badan Induk Pelaksana yang telah
dibentuk. Penulis bukan meletakkan kegagalan membentuk strategi PH kepada
Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng, tetapi beri orang baru menyusun langkah PH dengan
aspek baru seperti politik baru, undi 18 dan kaedah pemasaran baru yang lebih
dekat dengan mereka. Dengan itu, PH lah gabungan parti yang paling segar
berbanding BN dan PN.
14. Mungkin
tulisan penulis tidak akan dihiraukan oleh PH, kerana sebelum ini, ada 3 hingga
4 artikel yang penulis tulis untuk membetulkan keadaan PH. Namun, dengan lagak
Najib Razak yang berlakon seolah-olah rakyat menerimanya boleh menghambat PH
duduk dibawah, maka penulis terus menulis untuk memberikan cadangan. Lakukanlah
apa yang terbaik untuk PH asalkan BN tidak kembali semula memerintah.
Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng
kekal sebagai ketua pasukan tetapi pemain penyerang mesti orang baru. Kita
cuba!
Ulasan
Catat Ulasan