1. Sejak
Langkah Sheraton, kejatuhan kerajaan secara domino telah berlaku hampir semua
negeri Pakatan Harapan kecuali Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Negeri Johor juga turut terkesan memandangkan negeri tersebut juga mempunyai
perkongsian kuasa yang lebih kurang sama antara AMANAH, BERSATU dan KEADILAN.
Manakala DAP kekal sebagai komponen yang paling banyak kerusi dalam kerajaan
Johor. Kebiasaannya apabila kerajaan bertukar, speaker juga akan ditukar dengan
tokoh yang dinamakan oleh kerajaan baru, namun tidak di Johor.
2. Maka
Tuan Speaker Suhaizan Kayat yang dilantik sebagai speaker Dewan oleh PH kekal
menjalankan tugas sehingga Dewan sah dibubarkan. Semasa ura-ura Dewan akan
dibubarkan, selain Menteri Besar, beliaulah individu yang dicari oleh pihak
media bagi memberi gambaran situasi teka-teki di Johor. Namun, beliau tetap
bertindak profesional dalam menjalankan tugas meskipun sudah menyedari yang
Johor bakal diadakan PRN.
Ketua Dewan Pemuda PAS Nasional
3. Mengenai
latar belakang, Suhaizan Kayat, beliau antara sosok yang terlibat dalam
pertempuran diantara kelompok konservatif dalam PAS dan kelompok progresif yang
diketua oleh Ustaz Ahmad Awang. Pada tahun 2013, Suhaizan Kayat menawarkan diri
bertanding jawatan Ketua Dewam Pemuda PAS Malaysia setelah Nasruddin Hassan
Tantawi melepaskan jawatan tersebut. Ketika itu kempen mengikut cai masih
kurang tetapi sudah mula berakar dalam jemaah. Suhaizan ditentang oleh
Kamarulzaman Mohamad dan Zulhazmi Sharif.
4. Namun
pada tahun 2015, perpecahan di dalam PAS semakin melebar menyebabkan Suhaizan
diasak oleh golongan konsevatif kiri dan kanan menyebabkan beliau gagal
mempertahankan kerusi tersebut. Secara tak langsung, kecenderungan Suhaizan
yang taat pada keputusan muktamar dan pimpinan supaya memperkukuhkan Pakatan
Rakyat telah mendorong pihak anti-PR melabelkan Suhaizan dalam kelompok
anti-ulamak. Itu lebih memudahkan urusan golongan konservatif dalam PAS
menyingkirkan beliau. Akhirnya, beliau bersama dengan abang-abang mereka
menubuhkan AMANAH dan membangunkannya sehingga hari ini. Suhaizan mempunyai
kekentalan dan tahan lasak dalam berpolitik apabila mampu bertahan walau
ditekankan oleh golongan anti beliau dalam Pemuda.
Wibawa Sebagai Pemimpin Legislatif Johor
5. Seperti
yang penulis nyatakan diawal tulisan ini, Suhaizan antara satu-satunya lantikan
politik PH yang kekal berada di kerusinya walaupun kerajaan sudah bertukar
pihak. Ini suatu yang menarik memandangkan beliau bukanlah dari kelompok
kerajaan BN/PN yang sedang memerintah, tetapi boleh menjalankan tugas seperti
biasa. Mengapa BN/PN tidak mahu menukar speaker dari kalangan mereka berbanding
mengekalkan Suhaizan? Adakah kedudukan BN/PN di dewan yang tipis menyebabkan
BN/PN gentar untuk melakukan pengundian memilih Speaker yang baru? Mungkin
inikah salah satu sebab BN/PN mahu mengadakan PRN bagi mendapatkan kerusi yang
lebih banyak agar mudah membuat pengundian?
6. Namun,
sejak BN/PN memerintah Johor, Suhaizan bertindak profesional atas tugasnya
sebagai pemimpin perundangan negeri. Beliau boleh mensabotaj apa yang sedang
dilakukan oleh kerajaan BN/PN, tetapi itu bukan sifat beliau yang pastinya
boleh memberi kesan kepada kesejahteraan negeri dan rakyat. Contohnya, sudah 2
kali kerajaan BN/PN membentangkan bajet negeri di Dewan Undangan Negeri Johor,
semuanya berjalan dengan baik apabila dengan beberapa rundingan antara kerajaan
dan pembangkang dijalankan. Suhaizan selaku nakhoda dewan selesai menjayakan
sesi tersebut, bukankah Suhaizan boleh mengadakan-adakan pelbagai masalah bagi
menggambarkan kepada rakyat bahawa kerajaan Johor bermasalah? Tetapi beliau
berusaha untuk menjayakannya. Semuanya demi rakyat Johor.
7. Kedudukan
beliau sebagai speaker DUN Johor telah memberikan ruang yang besar untuk beliau
mereformasikan perjalanan dewan dengan lebih segar dan telus. Wibawa beliau
menatijahkan ketenangan dalam politik Johor antara pembangkang dan kerajaan.
Yang terus kucar-kacir adalah pemimpin dalam kalangan kerajaan itu sendiri.
Bukankah BN yang membubarkan Dewan? Bukankah parti-parti dalam kerajaan sedang
bertarung dalam kempen PRN Johor? Maka merekalah punca ketidaksabtilan politik.
Kenapa bajet 2021 dan 2022 berjaya diluluskan? Atas sebab kerjasama
pembangkang. Maka siapa tulang belakang kestabilan Johor? Pembangkanglah.
Peluang Keenam buat Suhaizan
8. Ini
kali keenam Suhaizan akan mencuba nasib dalam pertarungannya. Kedudukannya
sebagai pemimpin besar AMANAH mahupun Ketua Pemuda PAS satu ketika dahulu tidak
memudahkan beliau untuk mendapatkan kerusi yang pasti menang. Sedang wibawa
yang beliau ada, beliau diletakkan di kerusi yang sederhana sukarnya. Penulis
boleh katakan, beliau sama layaknya dengan kewibawaan Menteri Besar Johor dan
tokoh-tokoh besar di Johor yang lain.
9. Johor
pasti kerugian selepas ini jika tidak mengundi Suhaizan sebagai wakil rakyat
mereka, kerana hampir pasti jika BN/PN kembali memerintah, Suhaizan tidak akan
dilantik sebagai Speaker Dewan lagi. Namun, jika rakyat memilih PH+PKR+MUDA dan
Suhaizan, Suhaizan akan berada dalam kepimpin negeri Johor. Rakyat Johor boleh
menikmati ketokohannya sebagai pemimpin eksekutif Negeri Johor.
10. Sebagai
pelapis kepimpinan AMANAH Nasional, beliau pastinya mempunyai aspirasi yang
besar untuk melihat negara ini maju khusus Johor. Mungkin motto beliau semasa
memimpin Dewan Pemuda PAS iaitu Dinamik, Inklusif dan Peduli akan digunakan
untuk memimpin rakyat Pulai Sebatang. Dan pastinya kejayaan beliau bersama Dr.
Mujahid mewujudkan naskah-naskah perkaderan untuk ahli AMANAH adalah matlamat
jangka panjang yang beliau lihat dalam organisasi AMANAH.
11. Berilah
peluang kepada Suhaizan menjadi wakil rakyat Johor dalam PRN kali ini.
Percayalah, dalam saat genting begini, Johor memerlukan sosok Suhaizan Kayat
yang berwibawa, profesional dan tahan lasak untuk memimpin rakyat Johor walau
apa pun posisi yang diperoleh nanti.
Oleh,
Cikgu Syazmir HN
Ulasan
Catat Ulasan