Setelah bermulanya persidangan parlimen edisi belanjawan 2021 hujung oktober lalu, khabar angin bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan diadakan semakin kuat. Persoalan yang ingin dibangkitkan oleh penulis ialah, sudahkah blok pembangkang yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai jumlah kerusi paling besar, bersedia menghadapi PRU seterusnya? Banyak aspek teknikal yang harus dipersiapkan oleh PH bagi menghadapi PRU akan datang, antaranya manifesto, agihan kerusi, penyelarasan jentera dan kabinet bayangan pembangkang.
Maka tergerak hati penulis untuk menulis siapakah calon-calon kabinet bayangan dari blok pembangkang yang akan dipersembahkan kepada pengundi PRU ke-15. Pastinya ini merupakan aspek utama yang dilihat oleh pengundi selain manifesto dan calon yang bertanding bagi kerusi masing-masing.
AMANAH
Parti Amanah Negara (AMANAH) merupakan parti komponen paling muda dalam PH. AMANAH merupakan parti yang mampu menyaingi PAS, namun disebabkan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bersama PH, maka kebanyakkan kerusi yang ditandingi oleh PAS semasa Pakatan Rakyat dulu diberikan kepada PPBM dan AMANAH hanya mendapat 27 kerusi sahaja. Kali ini, PPBM yang tidak bersama PH akan memberikan peluang kepada AMANAH untuk membuktikan bahawa mereka mampu bertempur bersama PAS bagi merebut undi melayu Islam.
YB Tuan Hj Mohamad Sabu merupakan Presiden AMANAH, yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan Malaysia setelah PH berjaya membentuk kerajaan. Walaupun beliau dipandang rendah oleh segelintir masyarakat dan musuhnya adakah beliau layak mendapat jawatan tersebut, tetapi bagi penulis atas kapasitinya sebagai seorang presiden parti komponen PH beliau wajar berada disitu. Kedua, atas pengorbanan beliau yang sanggup meninggalkan parti lamanya serta kekal istiqamah bersama pembangkang memperjuangkan reformasi negara, beliau harus diberikan penghormatan tersebut. Jika dikatakan beliau tidak layak dan upaya berada disitu atas masalah pendidikannya, betapa ramai ahli politik yang mendapat jawatan tinggi tetapi kelayakkan akademiknya sederhana malah lebih rendah dari YB Mat Sabu. Pengalaman yang akan mengajar beliau untuk menjadi seorang pentadbir, hanya kerana beliau berada di Kementerian Pertahanan selama 22 bulan sahaja, keberhasilan atas usahanya tidak begitu nampak. Jika diberikan peluang sehingga habis penggal, penulis yakin beliau akan menjadi menteri pertahanan terbaik yang bukan dari UMNO. Beliau wajar mengambil kembali kerusinya yang hilang itu selepas PRU ke-15.
Selain, YB Datuk Salahudin Ayub (Timbalan Presiden), YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly (Pengarah Startegik), YB Datuk Dr.Mujahid (Naib Presiden) dan YB Ir.Khalid Samad (Pengarah Komunikasi) yang telah diberikan kepercayaan sebagai menteri. Ada dua nama yang boleh dipertimbangkan oleh AMANAH untuk dinaikkan sebagai menteri kabinet kelak. Penulis tidak menafikan kehebatan kesemua menteri AMANAH dan timbalan menteri yang telah dilantik semasa PH memerintah selama 22 bulan, mereka bewibawa dan harus dikekalkan dengan penyusunan semula mengikut kemahiran masing-masing.
YB Tuan Adly Zahari yang merupakan mantan Ketua Menteri Melaka telah berjaya menonjolkan kemahirannya sebagai seorang pemimpin negeri. Dalam rencana khas penulis tentang YB Adly memimpin Melaka, beliau telah berjaya membuktikan bahawa nilai ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ dalam konteks kebajikan dan kepimpinan boleh diaplikasikan. Peranan beliau selaku ketua menteri telah berjaya mengangkat kedudukan rakyat Melaka pada tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Segala usaha-usaha beliau telah penulis kumpulkan dalam rencana penulis tentang beliau. Dengan keupayaan ini, penulis merasakan beliau perlu duduk diposisi Menteri Pembangunan Usahawan, dimana kementerian ini yang dimansuhkan semasa penghujung kepimpinan PM ke-6 dan diwujudkan semula semasa PH memerintah harus mendapat tokoh pemimpin yang segar dengan idea-idea baru. Usahawan yang ingin dibangunkan nanti pastinya seiring dengan dunia pendigitalan yang baru, haruslah orang separa muda yang berpengalaman memimpin. Cadangan ini pun jika rakyat Melaka mahu melepaskan beliau dari kerusi ketua menteri!
YB Senator Datuk Husam Musa merupakan antara jururunding utama mewakili AMANAH dalam perundingan bersama parti komponen PH jika ada apa-apa isu berbangkit. Namun, kekalahan beliau di Kelantan dalam PRU yang lalu menyebabkan beliau menerima jawatan sebagai ahli Dewan Negara dan pengerusi Agensi sahaja. Untuk PRU akan datang, Datuk Husam perlu masuk ke Dewan Rakyat dan menjadi salah seorang menteri kabinet bersama kepimpinan AMANAH yang lain. Beliau mampu memimpin sektor Ekonomi yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri. Keupayaan beliau menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah memberi pengalaman buat beliau. Kesusahan kerajaan negeri ketika itu yang di anak tirikan oleh kerajaan pusat telah memaksa Datuk Husam mencari idea yang pelbagai untuk membangunkan Kelantan tanpa kantung duit dari kerajaan Pusat. Penulis berkeyakinan kemerosotan ekonomi negara kesan pandemik Covid-19 ini akan dipulihkan oleh menteri-menteri yang fokus kepada tugas sebagai menteri.
KEADILAN
Keadilan merupakan parti paling ramai mempunyai kepimpinan yang baik namun kurang mendapat tempat dalam kabinet PH selama 22 bulan. Kali ini, muka-muka mereka harus ditonjolkan dan KEADILAN perlu buktikan bahawa parti pelbagai kaum mampu memimpin negara dalam kerangka raja berpelembagaan. YB Datuk Saifudin Nasution antara insan yang masih setia bersama KEADILAN. Lihat sahaja semasa beliau memimpin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP), Segala penerangan yang digunakan bersandarkan fakta yang jelas tanpa diselitkan dengan agenda politik. Tokoh politik ini harus ditempatkan dibawah Kementerian Dalam Negeri. Mengapa? KDN merupakan antara kementerian yang paling berkuasa, menterinya boleh diibaratkan sebagai malaikat maut jika menteri tersebut menggunakan kuasanya untuk meruntuhkan musuh politiknya. Maka perlulah seorang yang benar-benar berintegriti dan bertindak menggunakan fakta yang jelas. Ini bagi mengelakkan KDN disalahgunakan. Ahli parlimen KEADILAN yang telah menjadi menteri kabinet seperti Dr A.Xavier dan Fuziah Salleh harus dikekalkan dalam kabinet nanti. Muka-muka baru dalam KEADILAN akan saya ulas dalam rencana bahagian kedua nanti.
DAP
YB Lim Guan Eng telah dilantik sebagai menteri kewangan semasa PH memerintah satu ketika dulu. Kebolehan beliau memimpin Pulau Pinang selama dua penggal telah memberikan keyakinan kepada Tun Dr Mahathir melantik beliau di posisi itu. Namun, perlantikan beliau telah dimanipulasikan oleh pihak pembangkang menggunakan sentimen perkauman. Isu ini menyebabkan PH hari-hari terpaksa bersilat untuk mententeramkan keadaan rakyat yang termakan dengan sentimen ini. Maka tidak direndahkan martabat beliau selaku pemimpin kanan komponen PH jika beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Bukan tak pernah pemimpin kanan dilantik sebagai menteri MITI, YB Datuk Seri Azmin Ali juga adalah bayangan TPM Malaysia sekarang memegang portfolio MITI. Begitu juga Tan Sri Rafidah Aziz memegang jawatan menteri MITI walaupun beliau Ketua Wanita bertaraf Naib Presiden UMNO ketika itu. Dengan perubahan ini, sentimen perkauman dapat dikurangkan dan kerajaan yang PH bakal bina kelak lebih stabil.
Selain YB Guan Eng, YB Anthony Loke merupakan menteri dari DAP yang mencapai prestasi yang baik selaku menteri pengangkutan. Beliau tidak kekok memulakan tugasnya serta melakukan kajian menyeluruh tentang sesuatu isu sebelum dilontarkan kepada masyarakat. Jika rakyat tidak menyukai beliau kerana wajib memakai tali pinggang keledar di dalam kereta, itu bukan isu ketidakcekapan menteri tetapi itu adalah ketidaksediaan rakyat untuk mengikut peraturan baru. Isu ini sama dengan isu larangan merokok, ia bukan isu kekurangan menteri, tetapi rakyat belum bersedia untuk diubah. Maka ketegasan yang ada pada YB Anthony harus menjadi senjata utama beliau duduk di kementerian sedia ada. Kekalkan beliau di Kementerian Pengangkutan, penulis percaya tempoh yang panjang akan menampakan kejayaan beliau. Nama-nama lain berada direncana seterusnya.
BLOK PEMBANGKANG LAIN
Untuk mencapai prestasi yang baik dalam PRU akan datang, kesemua parti dari blok pembangkang harus bersatu. Mereka harus masuk gelanggang bersama merempuh BN dan PN. Oleh itu, WARISAN merupakan parti terbesar Sabah harus bersama PH dan diberikan tempat dalam kabinet sama seperti sebelum ini. YB Datuk Seri Shafie Apdal yang pernah memimpin Sabah serta duduk dalam kabinet BN antara yang berpengalaman. Maka Sabah itu harus diberikan kepada muka baru dan beliau kembali menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Dengan itu misi beliau yang ingin terus membangunkan Sabah boleh diteruskan selain dari usaha mengukuhkan kedudukan Sabah di pusat.
PEJUANG yang ditubuhkan akibat pengkhianatan Presiden PPBM juga harus bersama PH. Walau apa sekali pun masalah antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir, mereka harus membawa parti mereka duduk bersama. Percayalah blok ketiga tidak akan mudah untuk menang mana-mana PRU. Jika Tun Dr.Mahathir bersama anaknya YB Datuk Seri Mukhriz tidak mahu berada dalam kabinet Datuk Seri Anwar, cukup dengan menyatakan kerjasama PRU bersama PH dan menempatkan seorang ahli parlimennya di dalam kabinet Datuk Seri Anwar. Ini sebagai bukti bahawa PEJUANG memegang pada janji lalu untuk melantikan Datuk Seri Anwar sebagai PM seterusnya.
Maka pengalaman yang ada pada YB Ir.Amiruddin Hamzah yang pernah menjadi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah semasa PAS memerintah dan juga sebagai Timbalan Menteri Kewangan semasa PH memerintah kerajaan pusat perlu dimanfaatkan oleh gabungan pembangkang bagi menghadapi PRU akan datang. Mungkin terlalu kontroversi untuk saya katakan bahawa beliau harus dilantik sebagai Menteri Kewangan kelak. Namun perlantikan tersebut boleh mengukuhkan sokongan PEJUANG kepada Datuk Seri Anwar. Keupayaan beliau mampu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kedudukan kewangan negara kembali pulih.
CALON PM & TPM
Dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diletakkan? Sudah semestinya beliau yang mengemudi PH juga insya Allah blok pembangkang dipilih sebagai calon Perdana Menteri (PM). Penulis tidak perlu menghurai banyak tentang Datuk Seri Anwar, kerana ketokohannya terlampau banyak diperkatakan dan ia mudah untuk dicari. Kita tidak sesekali membelakangkang beliau sebagai calon PM kerana beliau pimpinan PH, maka kesetiaan padanya usahlah dipersoalkan. Apa yang ingin penulis nyatakan kepada mereka yang fobia dengan Datuk Seri Anwar ialah berilah peluang kepada beliau untuk berada diposisi tersebut. Segala hujah yang menyanggah kebolehan beliau tidak akan terbukti selagi beliau tidak ditempatkan disitu. Mungkin apabila beliau disitu, bermulalah sebuah politik baru di Malaysia yang merentas kaum dan agama.
Siapa calon Timbalan Perdana Menteri(TPM) dari blok pembangkang? Siapa sahaja nama yang telah penulis sebut (kecuali Anwar, Guan Eng, Anthony Loke dan Dr A.Xavier) layak untuk berada disitu. Namun semestinya penulis mengharapkan YB Mat Sabu atau YB Datuk Salahudin berada di posisi tersebut memandangkan AMANAH parti komponen PH yang paling kanan selain DAP.
Apa-apa pun, blok pembangkang harus bersatu untuk memasuki PRU kali ini. Dan calon PM dan TPM dari blok pembangkang harus ditetapkan sesegeranya. Semua parti yang mahu bersama PH sebagai sebuah kerjasama politik harus mengisytiharkan keputusan tersebut mulai sekarang. Semua nama-nama yang dicadang adalah cadangan peribadi penulis, tidak mewakili mana-mana kumpulan.
Ditulis seikhlas hati oleh,
SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN
Penulis Politik - Tinta Siyasah
AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor
Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak
Ulasan
Catat Ulasan