Langkau ke kandungan utama

MENGUKUHKAN IDEALISME PERJUANGAN AMANAH



(RENCANA BERSAMA DATUK SALAHUDDIN AYUB, SEMPENA KONVENSYEN AMANAH NASIONAL 2020)

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengadakan konvensyen nasionalnya pada 25 Disember 2020 sehingga 27 Disember 2020. Acara tahunan yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 ini akan diadakan di sekitar bandaraya bersejarah Negeri Melaka. Sayap-sayap AMANAH iaitu Pemuda dan AWAN akan memulakan konvensyen mereka pada 25 Disember diikuti Konvensyen Nasional pada 26 & 27 Disember. WARDA merupakan sayap termuda dalam parti telah mengadakan konvensyennya lebih awal di Shah Alam.
Sempena dengan acara besar AMANAH ini, penulis telah bertemu dengan YB Datuk Salahuddin Ayub yang merupakan Timbalan Presiden AMANAH sejak AMANAH ditubuhkan lagi. Tujuan penulis bertemu beliau yang juga merupakan ahli parlimen Pulai adalah untuk mendapatkan ‘input’ awal apakah yang beliau akan sampaikan kepada para perwakilan serta apakah langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh semua ahli AMANAH.

Seperti yang diketahui umum, Datuk Salahuddin merupakan tokoh politik yang dibesarkan atas bimbingan ABIM dan PAS. Setapak demi setapak beliau naik ke puncak sebagai pimpinan utama PAS sehinggalah jawatan terakhir beliau sebagai Naib Presiden PAS disingkirkan secara berjemaah dalam Pemilihan PAS 2015 di Kuala Selangor. Atas tekad dan ijtihad beliau serta pimpinan lain, mereka telah mengambil alih parti pekerja dan dijenamakan sebagai Parti Amanah Negara.

Penulis bertanyakan kepada Datuk, apakah yang memberi keyakinan kepada Datuk dan pimpinan yang lain untuk menubuhkan parti baharu? Tidak bolehkah Datuk dan pimpinan bekerjasama bersama pimpinan PAS ketika itu? Jawabnya, selepas pemilihan itu, Datuk dan beberapa pimpinan yang kalah telah di jemput untuk menyertai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Namun, isunya bukan soal siapa kalah dan siapa menang, isunya ialah perbezaan pendekatan dalam berpolitik tidak boleh diraikan lagi dalam PAS. PAS mahu bergerak sebagai parti yang mempunyai satu pendekatan dan tidak harus ada yang menentang arus. Oleh itu Datuk Salahuddin merasakan, tiada gunanya mereka duduk dalam kelompok tersebut dan merasakan menubuhkan parti baru adalah wajar. Penulis melihat, budaya berbeza pandangan dan menegur pimpinan telah disekat di dalam PAS, maka tidak wajar AMANAH turut serta mengamalkan budaya ini. AMANAH akan terus menjadi parti yang meraikan perbezaan pandangan dan pimpinannya sedia untuk ditegur demi kelangsungan parti.

Menyentuh soal idealisme perjuangan AMANAH, Datuk Salahuddin menegaskan bahawa AMANAH merupakan parti yang membawa mesej Islam secara moderat dan progresif. Di mana AMANAH bertindak menaikkan syiar Islam mengikut kerangka perlembagaan tanpa merobek kemajmukan kaum yang ada di Malaysia. Selain itu, AMANAH membawa mesej Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam. Bererti AMANAH hadir dalam setiap lapisan masyarakat bukan untuk orang Islam sahaja. Pendekatan AMANAH sederhana dalam setiap keadaan bagi mengelakkan Islam digambarkan sebagai agama menghukum. Datuk Salahuddin mengungkap kisah beliau yang mahu menganjurkan jamuan perpaduan bersama DAP ketika itu. Beliau merupakan pimpinan PAS Johor mengalami kesukaran untuk mendapatkan tempat jamuan yang akan diadakan. Cuma ada satu restoran yang bersedia menyediakan tempat, tetapi persekitarannya ada botol arak dan unsur-unsur agama kaum cina. Mengalami halangan ini, Datuk Salahuddin tekad mendapatkan pandangan Almarhun Tok Guru Nik Aziz di Kelantan. Setelah diterangkan kepada almarhum, almarhum dengan tegas meminta program ini tetap diadakan di restoran itu. Bagi almarhum, kita hadir bukan untuk minum arak atau mahu menyembah tuhan mereka, tujuan hadir adalah untuk mengadakan hubungan kemanusian, oleh itu almarhum berpandangan tidak salah jamuan perpaduan itu diadakan disitu. Kisah ini menjadi peringatan buat Datuk Salahuddin bahawa kita harus mencari titik temu dengan bukan Islam agar nilai Islam itu sampai pada mereka. Tegas Datuk, almarhum sangat biasa jika dijemput berceramah, namun sangat teruja jika dijemput untuk berdialog bersama kaum lain kerana inilah masa yang sesuai Islam diperkenalkan kepada mereka.

AMANAH sebagai parti yang berusia 5 tahun, pastinya punya kelompongan yang belum terisi berbanding parti yang sudah lama bertapak di Malaysia. Antara persoalan penulis kepada Datuk Salahuddin ialah bagaimanakah idealisme perjuangan ini hendak diterapkan dalam peribadi ahli AMANAH. Kata Datuk Salahuddin, konsep perkaderan merupakan asas pembinaan sebuah parti mahupun organisasi. Kita tidak boleh lari darinya. Walaupun ada sebahagiannya cukup trauma dengan konsep ini kerana pengalaman mereka dalam parti lama mereka, namun ia bukan kesalahan perkaderan itu sendiri, tetapi isi perkaderan itu yang menyimpangkan pemikiran ahli. Jika dalam perkaderan itu mendidik ahli agar berfikiran sempit, maka amalan ini berlaku dalam organisasi. Tetapi jika perkaderan itu mendidik ahli lebih sederhana dan berfikiran kritis, ia mampu mengukuhkan organisasi. Oleh itu, perkaderan itu perlu dengan isi yang sesuai. Maka AMANAH melalui Biro Sumber Manusianya telah memulakan langkah membina modul-modul khas dan mengadakan program untuk diberikan ruang kepada tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan dalam AMANAH melontarkan idea mereka kepada ahli.

Apabila melihat kepada jalan merintis pembinaan AMANAH, Datuk Salahuddin memberi peringatan kepada pemuda dalam AMANAH untuk bersikap berani dalam menentukan hala tuju politik mereka. Hal ini kerana, memilih jalan menubuhkan AMANAH adalah satu tindakan yang sangat berani oleh pimpinan kerana mereka sanggup mengambil jalan sukar dan meninggalkan parti sedia ada kukuh bertapak di Malaysia. Pemuda itu akan lahir sifat kepimpinannya apabila mereka berani bertindak dalam berpolitik. Tegas Datuk Salahuddin, tiada gunanya jika ahli politik sekadar menadah kitab-kitab termasyur namun tidak turun kelapangan mengaplikasikan apa yang mereka pelajari. Jika itu berlaku, pemuda hanya kekal menjadi idealis dan gagal melihat konteks realiti sebenar.

Selain itu, Pemuda AMANAH khususnya harus memainkan peranan yang utama dalam memimpin masalah masyarakat dan ummah. Pemuda AMANAH harus dilihat lebih pantas dalam mengulas dan bertindak terhadap sesuatu isu melebihi pimpinan utama parti. Apabila mereka ke depan menguruskan isu-isu ini, AMANAH akan sentiasa segar dengan pimpinan pelapis yang menghayati denyut nadi rakyat. Teringat semasa beliau memimpin Dewan Pemuda PAS sekitar 2003-2009, Datuk Salahuddin melancarkan slogan Pemuda PAS adalah ‘Duta Penyelamat Ummah dan Kasih Sayang’. Semasa dibawah pimpinan beliau yang mengambil alih kepimpinan dari YB Datuk Mahfuz Omar, Pemuda PAS menjadi kelompok yang mengetengahkan isu-isu masyarakat sehingga memberi kesan pada umum. Kisah Datuk Salahuddin dan rakan-rakan pemudanya semasa berhadapan dengan isu Kumpulan Rock luar negara ingin mengadakan konsertnya di Kuala Lumpur menjadi ingatan jelas buat beliau. Semasa itu, jika ada sahaja tindakan yang tidak bersesuaian yang dilakukan oleh kerajaan, maka turun dijalan raya merupakan acara bantahan yang paling berkesan dan keras. Namun dalam isu ini, Datuk Salahuddin bertindak dengan lebih ramah apabila mengedarkan risalah-risalah yang diterbitkan oleh Dewan Pemuda PAS sendiri. Dalam risalah tersebut, mengandungi pesanan agar yang membacanya menjaga pergaulan dan sentiasa mengekalkan adat kita sebagai orang melayu. Dengan cara ini, tindakan yang penuh hikmah ini mampu memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Harapan Datuk Salahuddin kepada ahli-ahli dan penyokong AMANAH sempena Konvensyen AMANAH yang akan diadakan hujung minggu ini, Datuk Salahuddin berharap agar AMANAH perlu maju kehadapan dan melupakan musibah yang melanda mereka sejak 23 Februari lalu. Apa yang harus AMANAH lakukan ialah bergerak dengan naratif yang baru agar ia kekal relevan. Walaupun AMANAH merupakan parti yang baru dan jumlah wakil rakyatnya kecil, AMANAH tetap memainkan peranannya bersama mencatur politik Malaysia. Tiba masanya AMANAH menjadi parti utama dalam menyatukan semua parti yang tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional seterusnya berhadapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai satu pasukan yang ampuh dan padu. Datuk Salahuddin berkeyakinan, dengan adanya proses perkaderan dalam AMANAH untuk membentuk idealisme perjuangan AMANAH, ahli AMANAH akan tetap sabar dan yakin dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.
Dari penulis, diucapkan selamat berkonvensyen buat para perwakilan dan pemerhati. Semoga acara besar yang diadakan ini sejak kejatuhan kerajaan PH menjadi medan muhasabah buat ahli dan pimpinan serta mampu menghasilkan gerak kerja lebih tersusun bagi meneruskan kelangsungan AMANAH pada tahun 2021.
Seeru ala barakatillah!!
Disediakan oleh,
SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN
Penulis Politik – Tinta Siyasah

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENANTI FAHMI FADZIL BERAKSI SEPERTI TOK MAT RAHMAT

  1.        Setelah Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan, mata umum akan melihat akan semua gerak geri beliau khususnya dalam kepimpinan. Sebelum dinobat sebagai PM pun Anwar Ibrahim sudah kelihatan hebat, apakan pula setelah menjadi PM.   2.        Namun saya teringat akan pengajaran lampau semasa PH dibawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir memerintah Malaysia selama 22 bulan.     3.        Mulanya Tun dan kerajaan ini amat disegani, malah populariti kerajaan ini memuncak. Namun setelah kerajaan itu berjalan, kerajaan ini tenggelam dengan pelbagai tipu daya dan fitnah pembangkang.   4.        Umum mengetahui puncanya daripada pengaturan komunikasi kerajaan dan setiap kementerian yang lemah sehingga dakwaan yang tidak benar bila tidak dijawab akan menyebabkan ia menjadi maklumat yang sahih.    ...

MELAYU DAN BUKAN MELAYU DI MATA ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR

  1.        Naratif melayu dan Islam senantiasa menjadi persaingan diantara PAS dan UMNO sejak dahulu lagi. Boleh dikatakan, PAS dan UMNO sentiasa berlumba mendapatkan pelanggan melalui sokongan Pengundi Islam.   2.        Namun UMNO mendapat kelebihan yang lebih seb agai sebuah parti politik apabila sudah adanya kerjasama bersama kelompok bukan Melayu Islam melalui MCA dan MIC didalam BN, sebaliknya PAS ketika era kepimpinan sebelum Ustaz Fadzil Noor belum ada hubungan rasmi dengan kelompok bukan Islam.     3.        Ustaz Fadzil Noor antara pemimpin PAS yang paling banyak melakukan perubahan secara menyeluruh kepada PAS sehingga ia mampu diterima oleh semua pihak. Antaranya, dibawah era beliau, kerjasama diantara PAS dan kelompok bukan melayu Islam dimulai secara rasmi dan lebih dekat.   4.        Dalam petikan ucapan Dasar Pres...

2021 : AMANAH YANG RAHMAH

Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara telah melabuhkan tirainya hujung minggu lalu. Pelbagai pandangan dan reaksi perwakilan terhadap ucapan pidato yang telah disampaikan oleh Presiden AMANAH sendiri YB Tuan Hj Mohamad Sabu. Dalam kesibukan perwakilan membangkitkan persoalan hala tuju yang ingin AMANAH bawa dalam konteks persepakatan politik termasuk isu 'Grand Coalition’, para perwakilan juga tidak ketinggalan dalam mengingatkan pimpinan agar memperkukuhkan nilai perkaderan ahli AMANAH. AMANAH melalui Biro Pembangunan Sumber Manusia dibawah pimpinan YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang bergandingan dengan YB Speaker Tuan Suhaizan Kayat telah menyusun langkah membina modul-modul asas yang wajar ditekuni oleh ahli-ahli AMANAH. Ditempat konvensyen berlangsung, selain banner mempromosikan sayap termuda dalam AMANAH iaitu WARDA berada disitu, satu banner yang memaparkan 7 ciri-ciri rahmah yang perlu disemai dalam ahli AMANAH juga terdapat disitu. Ia menarik perhatian penulis unt...