Pada 22 September yang lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat satu pengumuman yang mengejutkan semua pihak. Beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyddin Yassin yang diberi nama kerajaan Perikatan Nasional telah pun tumbang apabila Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Dalam pengumuman
tersebut, Anwar Ibrahim telah menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa beliau
telah mendapat majoriti yang bukan sedikit tetapi melebihi sepuluh kerusi.
Apabila wartawan bertanya adakah majoriti beliau 2/3? Beliau menjawab hampir.
Persoalan dalam pemain politik dan pemerhati ialah siapakah ahli parlimen yang
telah membuat pusingan u-turn untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana
Menteri.
Dari
sumber-sumber yang meledak dalam media sosial, ahli parlimen UMNO telah
terlibat sama dalam menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Banyak
faktor yang telah mendorong UMNO beralih arah kepada Anwar Ibrahim. Antaranya
ialah tingkah laku BERSATU yang mengaut segala penguasaan yang ada dalam
kerajaan. BERSATU terutamanya Azmin Ali selaku Menteri Paling Kanan dalam
kerajaan PN, digambarkan telah menguasai segala Fi`ll hasil rampasan kuasa
Februari lalu. Tindakan ini menyebabkan UMNO tidak senang hati dan menyebabkan
mereka menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri
Persoalan
seterusnya, adakah pimpinan parti komponen PH seperti Mohamad Sabu mewakili
AMANAH dan Lim Guan Eng mewakili DAP mengetahui usaha yang telah dilakukan oleh
Anwar Ibrahim ini? Setelah pengumuman dibuat oleh Anwar Ibrahim tanpa dihadiri
oleh pimpinan PH yang lain, AMANAH dan DAP masing-masing telah mengeluarkan
kenyataan menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru. Namun, tiada seorang
pun pimpinan AMANAH,DAP mahupun KEADILAN memberikan perincian lanjut tentang
usaha ini. Adakah pimpinan PH yang lain tidak mengetahui hal ini ataupun mereka
merahsiakan hal ini agar usaha ini tidak diketahui pihak lawan.
Jawapan dari
persoalan ini boleh diukur dengan beberapa peristiwa selepas pengumuman dibuat.
Antaranya ialah agenda mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan beberapa lama
selepas pengumuman dibuat. Hasil dari penjelasan oleh Khalid Samad, Pengarah Komunikasi
AMANAH yang turut berada didalam mesyuarat tersebut bahawa mesyuarat yang
diadakan itu khas untuk meminta penjelasan dari Anwar Ibrahim tentang usaha
membentuk kerajaan baru. Jelaslah disini bahawa usaha yang dilakukan Anwar
Ibrahim sangat sulit sehingga tidak diketahui oleh pimpinan lain.
Kesan dari
pengumuman itu perlu dinyatakan disini. Ia telah melemahkan PN. Pengumuman itu
telah menyebakan hubungan BERSATU dan UMNO menjadi celaru. Melalui kenyataan
Dato Seri Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak mampu menghalang mana-mana ahli
parlimennya menyokong Anwar Ibrahim merupakan tamparan hebat kepada kerajaan PN
pimpinan Tan Sri Muhyiddin. Kenyataan itu seolah-olah benar seperti yang
didakwa bahawa UMNO lah antara yang menyokong Anwar Ibrahim. Hubungan UMNO dan
BERSATU tidak seyakin dahulu akibat pengumuman ini. Bagi kelompok yang mewakili
parti-parti Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak(GPS) juga terpaksa memikirkan
semula kedudukan mereka dalam PN. Hal ini dapat dilihat bahawa usaha Anwar
Ibrahim mampu menghancurkan kelangsungan GPS di Sarawak. Sebab lain adalah GPS
yang menjadi sebahagian kerajaan PN tidak mampu memberi kelebihan buat mereka
untuk menghadapi PRN Sarawak dalam masa terdekat.
Kesan yang lebih
penting adalah pengukuhan PH. Sudah lah PH terus dilemahkan selepas kerajaannya
tumbang, ditambah pula dengan pengumuman ini yang pastinya telah dijadikan
modal utama pihak lawan untuk mempertikaikan kesatuan PH. Semua pimpinan parti
komponen PH sama ada AMANAH mahupun DAP telah mengeluarkan komen yang agak
selamat bagi meredakan persoalan ini.
Antaranya
Anthony Loke selaku Setiausaha Organisasi DAP telah memberikan peluang kepada
Anwar Ibrahim untuk membuktikan majoriti yang Anwar Ibrahim peroleh.
Sebaliknya, Liew Chin Tong selaku Pengarah Strategik DAP dalam tulisannya
menyatakan bahawa DAP tidak akan bersama UMNO(yang terlibat dengan kes di
mahkamah) dalam membentuk kerajaan baru jika itu kaedahnya. AMANAH pula melalui
beberapa tulisan Naib Presiden AMANAH iaitu Dr.Mujahid Yusof Rawa yakin bahawa
Anwar Ibrahim akan membentuk kerajaan baru tanpa mengorbankan prinisip yang
telah lama beliau pegang.
Situasi dari
komen pimpinan parti dalam PH ini sukar dirungkai oleh semua pihak. Pastinya
pendokong PH termasuk ahlinya kebingungan. Apa pun yang terjadi sama ada Anwar
Ibrahim berjaya membentuk kerajaan baru atau tidak berjaya, semua ahli
mengharapkan agar PH tidak berpecah sama sekali. Pengukuhan PH harus
dipertahankan walaupun kita mempunyai gabungan baru dalam politik akan datang.
Begitu lama PH
menjadi lemah kerana permainan kotor politikus dari Gombak dan Pagoh itu
sehingga berjaya menumbangkan kerajaan PH. Kesan pengkhianatan ini membesarkan
luka yang PH ada. Tetapi harapan semua ahli dan pendokong PH adalah PH harus
memulihkan keadaan ini dan kembali berpadu dalam gelanggang politik. Benar
semasa pandemik Covid-19 ini melanda, tidak wajar untuk kita berpolitik, tetapi
usaha memulihkan kesatuan PH tidak boleh terhenti begitu saja. Rakyat harus
didahulukan dengan apa cara sekalipun, namun penyatuan PH harus dipulih dan
dipertahankan dari sekarang.
Kelompongan struktur kepimpinan PH akibat beberapa faktor
antaranya ialah keluarnya BERSATU dari PH menyebabkan jawatan yang dipegang
oleh Tun Mahathir, Muhyiddin yassin, Syed Saddiq, Mukhriz Mahathir, Dr.Radzi Jidin,
dan Rina Harun termasuk Marzuki Yahya terbatal dalam PH. Selain itu, Azmin Ali,
Zuraidah Kamaruddin dan Saifudin Abdullah yang bertindak keluar KEADILAN telah
menyebabkan jawatan-jawatan mereka kosong kecuali Ketua Setiausaha PH yang
digantikan oleh Saifudin Nasution. Paling terkini apabila Dato Husam Musa selaku Bendahari PH
juga meletakkan jawatan. Kelompongan ini menyebabkan PH gagal bergerak lancar
ke bawah. Konvensyen PH tidak pernah diadakan sejak menang PRU Ke-14. Jentera
pilihan raya peringkat PH juga gagal mencapai penyelarasan akibat kelompongan
ini. Sedangkan kita sebagai satu gabungan rasmi yang diiktiraf ROS harus
memasuki pilihan raya dengan gaya yang ampuh dan padu.
Akar umbi PH
juga berterabur dan belum disusun untuk menghadapi pilihan raya. Siapa
pengerusi PH kawasan? Siapa jawatankuasanya? Bagaimana penyelarasan jentera
pilihan raya akan bergerak? Semua ini belum diputuskan sama sekali di
tempat-tempat tertentu. Perkara ini sangat penting terutamanya di kawasan yang
telah dikhianati dan kawasan yang ditinggalkan oleh BERSATU ataupun PEJUANG.
Rakyat akan mula mempercayai PH apabila kita bersatu dengan agenda yang satu.
Jika dibandingkan dengan PN yang bergabung semata-mata kerana keuntungan
masing-masing sahaja, rakyat tidak yakin menyebelahi mereka, dengan syarat PH
bersatu.
Terkait dengan
kedudukan PEJUANG,WARISAN dan MUDA, mereka harus kembali menyokong PH dan
menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH. Hal
ini kerana PH merupakan gabungan yang dipilih oleh rakyat menjadi kerajaan
dalam PRU yang lalu. Jika PEJUANG,WARISAN dan MUDA tidak bersama PH sama ada
sebagai blok ketiga mahupun bersama PN, seolah-olah mereka tidak bersama mandat
rakyat. Pastinya dengan menyokong dan bersama PH, PH akan cuba membina sebuah
gabungan yang seimbang dan tidak melukakan mana-mana pihak seperti mana Pakatan
Rakyat dahulu. Dengan harapan komponen yang meyokong ini harus mengikuti ‘rule
of law’ didalam PH dan tidak memungkiri janji. Kesepakatan boleh dicapai
bersama namun pimpinan PH harus memimpin bukan dipimpin.
Semasa tulisan
ini ditulis Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia SPB
Yang Dipertuan Agong berkenan menerima mengadap Anwar Ibrahim untuk
mempersembahkan majoriti yang telah diumumkan. Berjaya atau tidak(dengan
harapan setinggi gunung berjaya) PH perlu kekal utuh, PH perlu kekal bersama
dan masuk ke gelanggang PRU Ke-15 bersama!!!
SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN
Penulis Politik – Tinta Siyasah
AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor
Ulasan
Catat Ulasan